Berita

Kerajaan komited bantu rakyat

BASHIR (kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan karaoke yang diadakan pada Program Semarak Merdeka Gemilang Dan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 peringkat Labuan.
- Diterbit 11 September 2022 2:00 AM MYT

KERAJAAN terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat mendepani isu kos sara hidup yang melanda dunia.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata antara langkah penting yang diambil kerajaan adalah penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan pasukan itu dilihat berada di landasan tepat apabila ia mula menunjukkan hasil positif dalam mengurus kenaikan kadar inflasi.

“Kesan penubuhan pasukan itu menyaksikan kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan lebih meyakinkan terutama ayam dan minyak masak dalam botol,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Semarak Gemilang Dan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di Pantai Layang-Layangan, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, memahami terhadap kesusahan rakyat pihak kerajaan terus mempergiat inisiatif lain bagi membantu rakyat mendapati kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kerajaan memperluaskan dan menjenamakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) kepada Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) melibatkan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara dan 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

“Komitmen Kerajaan diteruskan dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2022. Unjuran subsidi kepenggunaan berkenaan meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Bashir berkata bagi menangani isu kenaikan harga barang di Labuan, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut mengambil langkah membantu dalam meringankan bebanan rakyat di pulau itu.

Jelasnya, KWP telah memberikan subsidi berjumlah RM581,000 menerusi Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah sejak 14 Julai lalu.

“KWP memberikan kadar subsidi bersasar sebanyak RM3 bagi pembelian seekor ayam (super) manakala RM0.50 subsidi bagi 10 biji telur ayam.

“Kira-kira 19,000 penduduk kumpulan B40 di Labuan menerima manfaat ini selama tempoh enam bulan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM399,000,” jelasnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas