Berita

DBKL perkenal jawatan Renjer Taman, tingkat usaha pelihara landskap ibu kota

- Diterbit 19 September 2022 9:56 AM MYT

JAWATAN Pegawai Pertanian dan Penolong Pegawai Pertanian dibawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dikenali kepada Renjer Taman selepas proses penjenamaan semula bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan landskap, pokok teduhan serta taman awam di sekitar Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata penjenamaan itu turut meningkatkan skop tugas di bawah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi (JPLR) itu turut diperluas selain diberikan pakaian seragam khas untuk mereka.

“Unit ini bukan sahaja perlu mengelola bahagian penyelenggaraan pokok dan landskap tetapi mereka juga bertanggungjawab kawalan terhadap keselamatan, memberi penerangan berkenaan jenis tanaman kepada pelawat serta mengenal pasti keadaan kesihatan pokok.

“Selain itu renjer taman perlu membantu memberi pendidikan dan maklumat berkaitan terutama kepada orang ramai yang melawat taman-taman awam di bawah DBKL,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Wayside Trees The Natural Pillars and Roops of The Perdana Botanical Garden dan Penyerahan Watikah Pelantikan Renjer Taman di Taman Botani Perdana hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Ismail Parlan, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Datuk Sr Kamarulzaman Mohd Salih dan Pengarah JPLR, L.Ar Zulkifli Endut.

Beliau berkata skop kerja penyelenggaraan pokok teduhan telah dikembangkan dengan pemeriksaan dan rawatan pokok berisiko serta inventori pokok berusia sekitar ibu kota bagi menjamin keselamatan orang ramai.

“Setiap pokok yang berisiko ini akan diperiksa dengan teliti dan sekiranya terdapat sebarang penyakit, mereka akan merujuk kepada pasukan aborist untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, jawatan Renjer Taman turut dipelbagaikan dengan pembiakan spesies pokok unik dan terancam untuk tujuan konservasi selain tanaman semusim bagi tanaman landskap di bandar raya termasuk di kawasan tumpuan pelancongan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas