Berita

SUKMA 2022: Boling padang tambah dua kilauan emas WiPers

PASUKAN boling padang berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara fours wanita dan pairs lelaki.
- Diterbit 19 September 2022 10:10 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) menambah dua lagi kilauan emas menerusi acara boling padang yang diadakan di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini.

Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan yang dilakar atlet Nurulfarra Adeeba Muhammad Ridhwan, Aqilah SyazwaniRosland, Nur Aimileeya Ismail dan Nurul Husna Suraiya Yunus bagi acara fours wanita.

Nurulfarra Adeeba mengakui perlawanan sangat menggerunkan apabila pasukannya ketinggalan pada awal permainan.

“Kami agak jauh ketinggalan di mana Perlis mendahului dengan 9-2 namun kami tidak mudah berputus asa kerana selagi loceng belum dibunyikan peluang itu masih ada.

“Dengan semangat itu, kami mengejar mata demi mata yang mana di akhir permainan perlawanan agak sengit apabila kami seri sebelum berakhir dengan mata 14-12,” katanya kepada Wilayahku.

Satu lagi pingat emas diraih Mohd Muizzuddin Sanip dan Muhamad Huzaimi Junaidi menerusi acara pairs lelaki.

Dalam pada itu, kontinjen WiPers turut meraih pingat emas bagi acara tenpin boling beregu lelaki yang diadakan di Sunway Megalanes, Subang hari ini. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas