Berita

H: Lebih 1,000 peluang pekerjaaan sektor elektrik menanti yang layak

- Diterbit 19 September 2022 5:44 AM MYT

TALENT Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bakal menganjurkan pameran kerjaya maya berfokus kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) bermula 28 September 2022 hingga 30 September 2022.

Pameran Kerjaya Maya VCF E&E yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut akan menampilkan keterlibatan lebih daripada 40 buah syarikat dari sektor E&E dan bakal menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, TalentCorp menerusi mandatnya berperanan untuk menghubungkan dan meningkatkan kolaborasi strategik antara kerajaan, industri dan bakat untuk memastikan ekosistem bakat negara dipacu dan diperkasakan menerusi intervensi strategik dan berimpak tinggi bagi menyokong keperluan bakat dan mencapai aspirasi negara.

“Pelaksanaan VCF E&E ini adalah berdasarkan keperluan guna tenaga semasa sektor ini yang turut bertindak sebagai penyumbang utama ekonomi negara. Usaha ini merupakan terjemahan kepada kerjasama strategik TalentCorp, dan industri untuk mengetengahkan peluang pekerjaan tersedia disamping membantu bakat untuk merangka perancangan kerjaya dan keterlibatan mereka dalam sektor ini,” katanya.

Selain meneroka peluang pekerjaan, peserta turut berpeluang untuk berinteraksi bersama majikan melalui sembang langsung secara maya, mendapatkan informasi terkini industri E&E serta menghadiri webinar untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran kerjaya maya E&E ini termasuklah Intel Malaysia, Keysight Technologies, Plexus Manufacturing, Silterra Malaysia, Vitrox Corporation, Schneider Electric, Flextronics Technology, TF AMD Microelectronics dan Hoya Electronics Malaysia.

VCF E&E dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Melaka, Universiti Malaysia Perlis dan Jurutera Muda Malaysia.

Untuk pendaftaran dan penyertaan, layari www.talentcorp.my/virtualcareerfair. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas