Berita

DBKL lancar Kit Strata untuk komuniti strata Kuala Lumpur

SHAHRUDDIN (dua dari kiri) menunjukkan Kit Strata selepas Majlis Perasmian Konvensyen Komuniti Strata di sini hari ini. - IHSAN DBKL
- Diterbit 24 Oktober 2019 5:00 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kit Strata secara rasminya dilancar hari ini sejajar usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) mengendalikan komuniti strata masing-masing.

Majlis pelancaran Kit Strata disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan selaku Pesuruhjaya Bangunan (COB) Kuala Lumpur dan Pengarah Eksekutif Pengurusan DBKL, Datuk Mustafa Mohd. Nor.

Menurut Shahruddin, Kit Strata merupakan suatu pek permulaan yang mengandungi garis panduan, buku serta tatacara penyenggaraan dan pengurusan bangunan berstrata dalam bentuk yang ringkas dan mudah difahami.

“Kit Strata ini boleh dijadikan panduan oleh anggota Jawatankuasa Baharu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) untuk memahami tanggungjawab dan tugas mereka dalam mengurus kawasan pemajuan berstrata.

“Usaha yang dilakukan ini boleh dijadikan panduan dan pemudah cara dalam menangani masalah kehidupan berstrata yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan. Ia sekali gus menjadikan pengurusan mereka terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Ujar Shahruddin, kehidupan di bangunan berstrata melibatkan perkongsian ramai penghuni dalam jumlah dan jurang profil yang luas.

Jelasnya, kebanyanya komuniti strata mempunyai perbezaan seperti agama, bangsa, budaya, jantina, umur, pekerjaan, pendapatan dan sebagainya.

Malah, tambahnya, berdasarkan rekod aduan sehingga Ogos 2019, sebanyak 5,611 aduan yang diterima sama ada melalui surat, emel, bersemuka atau panggilan telefon. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas