Berita

Kampung Baru: RM1,000 sekaki persegi, pegangan saham

KHALID bersama Nor Hisham melihat model pembangunan semula Kampung Baru selepas sidang akhbar khas di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur petang tadi.
- Diterbit 24 Oktober 2019 11:03 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan tawaran harga baharu pembelian tanah di Kampung Baru di sini pada harga RM1,000 sekaki persegi sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak RM150 sekaki persegi berbanding kadar yang dikemukakan sebelum ini.

Dari harga RM1,000 sekaki persegi itu, RM850 sekaki persegi akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang telah dipilih oleh para pemilik tanah manakala baki RM150 sekaki persegi pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

KHALID

Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dalam satu sidang akhbar khas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1 di sini petang tadi.

”Melalui pegangan saham ini bererti pemilik kekal mempunyai hak atas tanah yang akan dibangunkan dan mendapat pulangan daripada pembangunan itu.

“Ia akan menentukan keterlibatan pemilik asal dalam projek ini termasuk dari segi reka bentuk dan kaedah pembangunannya,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Tan Sri Amrin Buang; Pengerusi Anggota Majlis Penasihat PKB, Datuk Mohd. Zikay Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Siti Fatimah Daud; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan.

Khalid berkata, perincian dari segi struktur pegangan saham akan diperhalusi oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan bakal dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak.

Khalid berkata, tawaran baharu tersebut turut melibatkan pakej potongan harga 15 peratus kepada pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah termasuk rumah mampu milik Residensi Wilayah pada harga RM255,000 seunit berkeluasan 900 kaki persegi berbanding harga asal RM300,000.

Kadar harga baharu yang dikemukakan itu merupakan hasil perbincangan Khalid dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad buat kali kedua semalam selepas perkara itu dibawa dalam mesyuarat khas dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dan Ahli Majlis Penasihat perbadanan tersebut yang turut terdiri daripada anak jati kampung tersebut pada 17 Oktober lalu.

Khalid berkata, melalui tawaran itu, pihaknya berharap pemilik yang masih tidak memberikan maklum balas dapat menimbangkan perkara tersebut.

”Pemilik yang sudah memberikan maklum balas persetujuan untuk menjual tanah mereka melalui borang yang diedarkan semasa Sesi Town Hall sebelum ini tidak perlu menghantar borang baharu kerana kerajaan akan mengambil kira persetujuan mereka selaras dengan tawaran baharu secara automatik, ” katanya.

KHALID mengumumkan tawaran harga baharu pembelian tanah Kampung Baru pada sidang akhbar khas di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur petang tadi.

Jelas beliau,setakat ini daripada 1,371 respons yang diterima, sebanyak 96 peratus bersetuju dengan tawaran asal RM850 sekaki persegi.

”Pemilik tanah boleh membuat pertemuan dengan sesama pemilik dan menjemput pihak PKB untuk memberi penerangan. Kami mahu pemilik tanah bersetuju dengan kefahaman mendalam atas tawaran itu dan jika mereka menolak juga mesti atas dasar faham,” katanya.

Sebelum ini, Khalid menyatakan komitmennya bagi membawa hasrat pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru untuk mendapatkan tawaran harga lebih tinggi kepada Perdana Menteri.

Pada sesi Town Hall di Dewan Perdana Felda di sini pada 21 September lalu, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan harga pembelian tanah di Kampung Baru pada kadar RM850 sekaki persegi berdasarkan penilaian pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira syarat tanah adalah kekal milik orang Melayu.

Bagaimanapun, rata-rata pemilik dan pewaris tanah mahu kerajaan memberikan tawaran harga yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Khalid berkata, pemilik tanah akan diberikan peluang untuk mengemukakan maklum balas atas tawaran baharu tersebut selama lima minggu dari tarikh pengumuman berkenaan iaitu pada 30 November ini.

“Keperluan mengembalikan borang maklum balas persetujuan itu adalah hanya untuk pemilik yang masih belum mengemukakan borang tersebut kepada PKB selepas sesi Town Hall pada September lepas.

“Bagi pemilik yang telah mengemukakan borang sebelum ini tetapi tidak bersetuju dengan tawaran pada ketika itu, mereka dipohon mempertimbangkan semula tawaran terbaru tersebut dan mengembalikan borang maklum balas persetujuan kepada PKB,’’ katanya.

Secara keseluruhan, Kampung Baru mempunyai keluasan 121 hektar termasuk kawasan segi tiga emas seluas 89 hektar yang diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Bakinya, 32 hektar berada di luar kawasan MAS merangkumi kawasan Jalan Raja Bot, perumahan PKNS Sungai Baru, flat PKNS Jalan Tun Razak, flat PKNS 17 tingkat dan Wisma Perkeso. Penempatan itu melibatkan 825 lot berada dalam kawasan MAS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas