Berita

DBKL batal hampir 400 lesen perniagaan

- Diterbit 22 Mac 2024 8:40 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membatalkan kira-kira 387 lesen perniagaan dan penjaja atas kesalahan menyewakan kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu diambil dari tempoh 2022 sehingga Februari 2024 yang lalu.

“Dari tahun 2022 hingga Februari 2024, DBKL telah membatal 321 lesen premis dan 66 lesen penjaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bertanyakan mengenai langkah jangka panjang DBKL dalam menangani masalah sosial seperti Mini Dhaka di Kuala Lumpur yang sering muncul selepas operasi penangkapan warga asing tanpa izin dilakukan.

Zaliha berkata, menerusi operasi di Mini Dhaka yang dilaksanakan dalam bulan Januari hingga Februari sahaja, DBKL telah melakukan 34 tindakan sitaan.

“Dengan kerjasama DBKL dan Bomba, kita telah adakan operasi bersepadu dan ini juga telah kita laksanakan tindakan rob struktur sekatan dalaman dan ini telah melibatkan 108 struktur binaan yang telah dilakukan di empat buah premis,” katanya

Kata Zaliha, DBKL dari semasa ke semasa akan menguatkuasakan undang-undang dengan melaksanakan pemantauan dan rondaan secara berkala ke atas aktiviti-aktiviti yang dijalankan warga asing ini terutamanya dalam bidang perniagaan.

“DBKL mengambil tindakan kompaun dan menyita peralatan atas barang-barang perniagaan yang tidak ada kebenaran atau dilesenkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah beberapa peruntukan undang-undang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas