Berita

36 penerima layak DKBP WP

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahin mengalungkan pingat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Sr Kamarulzaman Mat Salleh
- Diterbit 22 Mac 2024 8:35 AM MYT

PENGURNIAAN Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan adalah untuk memberikan pengiktirafan kepada individu yang telah berjasa, mencurahkan khidmat bakti atau menyumbang kepada kemajuan Wilayah Persekutuan, titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Oleh yang demikian, saya sendiri telah meneliti setiap calon, yang disediakan oleh jawatankuasa pemilihan dan pada tahun ini, saya telah membuat keputusan hanya 36 orang penerima sahaja yang benar-benar layak untuk dianugerahkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2024 di Istana Negara pada Selasa.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang akan menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat.

“Semoga anugerah yang diberikan ini, menjadi penyuntik semangat untuk terus menabur bakti dan menjadi contoh kepada masyarakat,” titahnya.

Sultan Ibrahim turut  berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 36 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024 dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 yang telah diadakan pada 19 Mac 2024.

Pada istiadat pengurniaan kali ini, Darjah Kebesaran Pangkat Kedua Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada seorang individu, lapan anugerah Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga iaitu Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) yang membawa gelaran Datuk. Lapan anugerah Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.), enam anugerah Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.), lima anugerah Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (A.M.W.) dan lapan anugerah Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (P.P.W.).  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas