Berita

Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia

DATUK Dr Ammar Abd Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
- Diterbit 13 April 2023 12:16 PM MYT

DATUK Dr Ammar Abd Ghapar dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) berkuat kuasa pada 12 April 2023.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikannya itu adalah bagi menggantikan Datuk Zainuddin Abdul Wahab yang telah bersara wajib pada 10 April lalu.

“Beliau telah berkhidmat di Tourism Malaysia selama 35 tahun sejak 23 Jun 1988 dan sangat berpengalaman luas dalam sektor pelancongan negara.

“Jawatan terakhir beliau di Tourism Malaysia ialah sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika/Eropah/Oceania).

“Pengalaman dan kredibiliti serta kelulusan Doktor Falsafah dalam Pengurusan Hotel dan Pelancongan yang dimiliki, diyakini ia bukan sahaja dapat memperkuatkan dan modenisasi Tourism Malaysia mempromosikan pelancongan negara malah dapat juga memperkasakan lagi sektor pelancongan tempatan,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, MOTAC percaya beliau juga berupaya mengambil peluang keemasan ini untuk memimpin Tourism Malaysia dengan menarik lebih ramai pelancong melancong ke negara selain akan turut mengetuai misi menjayakan Tahun melawat Malaysia bagi tahun 2025.

Di kesempatan itu juga, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing dan seluruh warga MOTAC merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada beliau di atas sumbangan dan khidmat bakti di sepanjang perkhidmatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas