Berita

Kamarulzaman dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur ke 14

- Diterbit 13 April 2023 3:27 PM MYT

TEKA-TEKI mengenai jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur akhirnya terjawab apabila Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dilantik mengisi jawatan tersebut menggantikan Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata pelantikan tersebut adalah selaras dengan subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190] dan berkuat kuasa 17 April ini.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki, beliau mampu memperkukuhkan lagi tadbir urus serta fungsi Pihak Berkuasa Tempatan yang dilaksanakan oleh DBKL agar terus memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Zuki turut mengucapkan terima kasih kepada Mahadi yang telah tamat tempoh pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 31 Mac 2023.

Kamarulzaman yang juga Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek berusia 59 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti Teknologi Malaysia (1987).

Beliau mula berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada tahun 1991 dan mempunyai 32 tahun pengalaman dalam pengurusan bandaraya serta dasar-dasar perancangan Bandaraya Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas