Berita

Dapur It’am sedia juadah berbuka untuk golongan miskin

|
- Diterbit 23 April 2020 6:12 PM MYT

Oleh RAHANA MD.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM2.16 juta sebagai bantuan tambahan kepada 72 masjid dan surau Jumaat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang akan mengambil bahagian dalam program sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri memberitahu, dapur It’am adalah inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi memastikan juadah berbuka puasa sepanjang Ramadan tersedia khususnya bagi golongan asnaf, rakan jalanan dan keluarga B40.

“Objektifnya adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya ada makanan berbuka puasa khususnya kepada golongan asnaf di samping membudayakan masjid sebagai pusat soup kitchen .

“Urusetia yang terlibat adalah tertakluk kepada garis panduan pelaksanaan yang mengambil kira prosedur standard operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan tiga orang petugas untuk persiapan awal dan tiga orang petugas untuk proses memasak,” katanya.

Tambahnya, bagi kawasan Putrajaya, masjid yang terlibat ialah Masjid Mahmoodiah dan sembilan buah surau Jumaat manakala Labuan di Masjid al-Anur.

Daripada keseluruhan 72 masjid yang terlibat, setiap satunya menyasarkan 350 buah keluarga akan menerima bantuan juadah berbuka sekali gus bakal memanfaatkan 25,200 keluarga setiap hari.

Cara agihan pula dilakukan dengan mengehadkan kepada wakil penduduk untuk mengambil juadah tersebut di masjid berkenaan selepas waktu Asar.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas