Berita

Khaira PPZ salur bantuan kepada Institut Kanser Negara

ZULKIFLI (tengah) dan Ahmad Marzuk (dua dari kiri) bergambar bersama Ahmad Shukri (kiri), Rafidah dan Madya selepas penyampaian bantuan Musaadah Covid19 kepada IKN di Putrajaya baru=baru ini.
- Diterbit 23 April 2020 6:55 PM MYT

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Khaira PPZ menyerahkan bantuan zakat khas kepada Institut Kanser Negara (IKN) melalui Misi Musaadah Covid19.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAWIP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, bantuan itu merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat PPZ-MAIWP bagi bersama-sama membantu institusi kesihatan negara dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

“Sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19, Institut Kanser Negara telah menjalankan proses saringan kesihatan kepada semua kakitangan dan pelanggan.

“Oleh itu, PPZ-MAIWP menerusi Khaira PPZ menyerahkan bantuan zakat khas sebanyak RM40,000 bagi membantu IKN dalam menyediakan kelengkapan dan peralatan untuk tujuan saringan dan rawatan Covid-19,” katanya.

Majlis penyampaian bantuan tersebut disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Hadir sama Timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary; Timbalan Pengarah Pengurusan IKN, Rafidah Bidin dan Pegawai Unit Hal Ehwal Islam IKN, Ustaz Madya Madon.

Pada majlis tersebut turut disampaikan bantuan barangan makanan untuk diagihkan kepada kakitangan IKN yang memerlukan.

Ahmad Shukri berkata, prihatin dengan situasi yang melanda negara, PPZ-MAIWP menyahut
seruan untuk bersama-sama meneruskan Misi Musaadah Covid19 dengan menyalurkan bantuan zakat khas kepada institusi kesihatan negara khususnya di IKN yang memerlukan dana dalam melengkapkan peralatan bagi mencegah penularan wabak ini.

“Saya menyeru pembayar-pembayar zakat agar terus membayar zakat di PPZ-MAIWP melalui pautan www.zakat.com.my dan Insya-Allah wang zakat anda itu akan digunakan sebaik mungkin terutamanya dalam suasana ujian Allah SWT sekarang,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas