Berita

Cuba dekati semua golongan, seolah-olah PRU bila-bila masa – Kamaruddin 

TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Pekan Sungai Besi.
- Diterbit 17 April 2022 10:54 AM MYT

USAHA mendekati semua golongan masyarakat diberikan penekanan dalam setiap penganjuran aktiviti kawasan P124, Parlimen Bandar Tun Razak.

Pendekatan tersebut kata Ahli Parlimennya Datuk Kamarudin Jaffar, diambil semenjak dipilih mewakil parlimen pada tahun 2018, diteruskan hingga sekarang seolah-olahnya pilihanraya akan berlaku bila-bila masa.

SALAH seorang penunggang motosikal turut menerima bubur lambuk dan kurma yang diagihkan.

Katanya, setiap program dibuat akan cuba memastikan sebolehnya dapat mendekati semua golongan masyarakat di Bandar Tun Razak melalui pelbagai cara pelaksanaan.

“Ia dibuat melalui aktiviti secara langsung atau Pejabat Ahli Parlimen mahupun Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), Persatuan Penduduk, Surau dan Masjid serta sekolah-sekolah.

“Penghubungnya guru besar atau pentadbir sekolah dan PIBG, libatkan semua Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sedia ada di Bandar Tun Razak,” kata MP Bersatu itu sebaik selesai mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Pekan Sungai Besi, petang ini.

Sejumlah 300 bubur lambuk dan kurma itu diagihkan dengan usahasama MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak merupakan aktiviti tahunan setiap Ramadan di hampir semua kawasan Parlimen berkenaan.

Menurut Kamaruddin, program yang dianjur mendapat sambutan menggalakkan dan ia bertujuan rapatkan hubungan Ahli Parlimen dengan masyarakat supaya sentiasa akrab dan penuh persaudaraan.

Sementara itu, mengulas Undi18 dan daftar pemilih automatik, Kamaruddin berkata, pengundi di kerusi P124 meningkat kepada 118,000 orang berbanding 84,000 pemilih pada PRU-14 lalu.

“Data pengundi diperoleh dari pendaftaran pemuda dan daftar secara automatik Undi 18 telah beri kesan peningkatan pengundi.

“Kita alukan pengundi muda dan menyeru mereka berdamping dengan Ahli Parlimen mengikuti aktiviti kawasan supaya sebelum mengundi pun mereka dapat menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas