Berita

Platform infaqdpim bantu usahawan terjejas dengan telus, elak pinjam along

Mohd Sopian Hassan dan disaksikan oleh Penasihat DPIM Pusat
- Diterbit 17 April 2022 8:31 AM MYT

MASYARAKAT sering didedahkan dengan pelbagai bentuk bantuan atau infaq ke rumah-rumah kebajikan seperti rumah anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, masjid dan surau sebagai salah satu bentuk amal kebajikan membantu golongan yang memerlukan.

Hakikatnya, terdapat juga golongan lain yang sebenarnya turut terkesan dan memerlukan sokongan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Misalnya golongan usahawan yang terjejas perniagaan disebabkan pandemik COVID-19, dilanda musibah banjir, berlaku kebakaran di premis dan kediaman atau mengalami kebankrapan juga memerlukan sumbangan.

PENGERUSI DPIM Putrajaya Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin menyampaikan sumbangan tabung infaqdpim kepada salah seorang ahlinya di Cyberjaya baru-baru ini.

Situasi ini menyebabkan sesetengah usahawan terpaksa gulung tikar dengan menutup kedai, melelong kesemua barangan yang ada namun pulangannya belum mencukupi untuk mereka memulakan kehidupan baharu.

Sehubungan itu Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya mengambil langkah memperkenalkan platform dikenali sebagai infaqdpim kepada orang ramai untuk bersama-sama menghulur bantuan kepada kumpulan usahawan terbabit.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin, golongan usahawan yang mengalami musibah akan berusaha meneruskan perniagaan yang sewajarnya jika dibantu. Walaupun ada yang mengalami trauma fizikal dan mental namun kehidupan perlu diteruskan demi keluarga, isteri dan anak-anak.

“Ada di kalangan usahawan DPIM bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga kerana bukan sahaja kehilangan pendapatan tetapi modal untuk meneruskan perniagaan juga tidak ada.

Lebih malang lagi dalam mencari jalan keluar, terdapat dalam kalangan mereka terpaksa berhutang dengan peminjam wang haram seperti along.

Apabila sudah termakan jerat. Bukan dapat menyelesaikan masalah sebaliknya lebih menyulitkan keadaan.

“Bertitik tolak daripada keadaan yang merumitkan itu, pihak DPIM Putrajaya mengambil inisiatif memperkenalkan platform infaq melalui dalam talian bagi mendorong orang ramai bersama-sama menyumbang tanpa mengira kecil atau besarnya nilai yang diberikan. Bantuan juga dibuka kepada bukan ahli, ” katanya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin bertukar dokumen perjanjian dengan Pengurus PrimacloudsSolutions Sdn Bhd, Mohd Sopian Hassan dan disaksikan oleh Penasihat DPIM Pusat, Datuk Samsul Husin di majlis pelancaran Platform Infaq DPIM di Cyberjaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Platform Infaq DPIM yang disempurnakan oleh Datuk Samsul Husin selaku penasihat DPIM pusat. Hadir sama barisan ketua biro, ahli dan juga penerima sumbangan.

Muhammad Khanafi menambah, jika sebelum ini usahawan yang terjejas atau dilanda musibah akan dibantu melalui program derma kilat dan kutipan diserahkan terus kepada mangsa.

“Menerusi platform yang dibangunkan ini pula, sistem yang diperkenalkan lebih terbuka kepada sesiapa sahaja. Saluran ini lebih telus kerana setiap sumbangan mempunyai data lengkap yang boleh diakses oleh pihak penyumbang dan juga penerima malah setiap wang disalurkan diaudit secara profesional dan bertauliah.

“Sasaran sumbangan adalah sebanyak RM100,000 dalam tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Julai 2022.

Dua kategori diperkenalkan iaitu bantuan sekali sahaja (one off) diserahkan kepada ahli yang terpilih dan kategori kedua melalui tabung geran pemasaran digital,” ujarnya.

Melalui tabung tersebut pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan yang pihaknya akan melantik syarikat milik ahli yang memiliki kemahiran mempromosi produk secara dalam talian.

“Situasi menang-menang ini akan lebih memberi manfaat kepada banyak pihak kerana wang yang terkumpul hasil sumbangan digunakan untuk membayar yuran perkhidmatan. Ini sekali gus memberi peluang pekerjaan dan pendapatan kepada ahli yang lain juga,” katanya

Pihaknya juga berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada syarikat yang memiliki kemahiran membangunkan platform terbabit tanpa sebarang pembayaran.

Pengurus Primaclouds Solutions Sdn Bhd, Mohd Sopian Hassan berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu rakan usahawan yang lain kerana syarikatnya memiliki kemahiran dalam pemasaran digital.

“Pandemik memberi kesan teruk kepada sesetengah usahawan dan kami bantu mengikut keperluan mereka. Sistem yang dibangunkan diharap dapat membangkitkan mereka untuk bermula sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ToyyibPay, Rosli Amir turut membantu DPIM Putrajaya membangunkan kaedah pembayaran dalam talian berharap usahawan yang dibantu mendapat suntikan semangat baharu.

“Antara filosofi syarikat membantu golongan yang sedang di dalam kesusahan bersandarkan apa yang kita ada.

“Dalam infaqdpim, kami membantu dengan membekalkan cara mudah sumbangan disalurkan melalui kaedah pembayaran dalam talian. Semoga usahawan yang terjejas menemui jalan keluar,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melayari www.infaqdpim.com. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas