Berita

COVID19: Penggiat media hulur bantuan

JAINUDDIN ( tiga dari kanan) bersama-sama dengan penyumbang menyerahkan bekalan makanan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, pada Selasa lalu.
- Diterbit 1 Jun 2021 12:01 AM MYT

PERSATUAN Penggiat Media Labuan melaksanakan inisiatif sendiri untuk menghulurkan bantuan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi mendapatkan ­bekalan makanan untuk keperluan di tiga ­pusat kuarantin pesakit COVID-19.

Program Tanggungjawab Sosial (CSR) itu dilaksanakan oleh Persatuan Penggiat Media Labuan turut mendapat kerjasama daripada pihak individu dan syarikat swasta.

Presidennya, Jainuddin Djimin berkata, hasil daripada sumbangan yang diterima telahpun disalurkan kepada pihak JPBD dan barangan disumbangkan itu akan diselaraskan oleh JPBD kepada ketiga-tiga pusat kuarantin pesakit COVID-19.

Katanya, setakat ini pihaknya telah berjaya mengumpul 450 kilogram(kg) beras, 500 kg ayam dan 210 kotak telur.

“Program ini kita laksanakan sehingga 30 Mei dan kita juga akan berhubung dengan beberapa sektor korporat untuk bersama-sama menghulurkan sumbangan barang makanan.
“Ini merupakan salah ­satu tanggungjawab kita sebagai penduduk pulau ini untuk membantu mereka yang memerlukan ­lebih-lebih lagi disaat kita menghadapi wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan sumbangan makanan di Unit Dietetik dan Sajian Hospital Labuan, pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang dihulurkan oleh penyumbang iaitu Penaung Persatuan Penggiat Media Labuan, Datuk Chin Chee Kee dan Datuk Shamsul Sahari, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Abdul Manan, Datuk Seri Mohd Alias Abbdul Rahman dan Datin Seri Norsiah @Emelda Abdullah mewakili Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML), Pengurus Labuan Supermarket, Lee Kiat Khim mewakili syarikat Sunyala Trading dan Alex Lee dari Yuwang Trading.

Terdahulu, Labuan kini mempunyai tiga pusat kuarantin pesakit COVID-19 iaitu di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, asrama Bahagian Teknologi Pendidikan Tinggi (BTPN) dan Hospital Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas