Berita

Kemiskinan dan jenayah

KemisKinan merupakan antara punca utama perlakuan jenayah kecil-kecilan di ibu kota utama seluruh dunia.
- Diterbit 31 Mei 2021 11:57 PM MYT

PADA pertengahan tahun 1970-an sekumpulan empat anak muda Jamaica menubuhkan sebuah kumpulan muzik raggae yang dinamakan Stay Cool dan mereka kekal menjadi kumpulan yang tidak begitu dikenali sehinggalah muncul dengan lagu ‘To Be Poor Is A Crime’ pada tahun 1981.

Lagu itu segera menjadi fenomena bukan sahaja kerana iramanya, tetapi kerana liriknya yang disifatkan oleh para pengulas dan pengkritik sebagai penyataan ikhlas terhadap situasi sebenar kemiskinan. Antaranya bait-bait lirik yang paling menyentuh adalah:
‘To hear the children cryin’
It really keeps me sighing
My bredren I’m not lyin’
Sometimes I feel like dyin’

Jamaica pada masa itu malah sekarang ini merupakan sebuah negara miskin dan ini menyebabkan lagu tersebut dilihat sebagai kritikan keras kepada pemerintah.

Disebabkan itu untuk versi yang dirakamkan di negara yang terletak di Laut Carribbean itu, bait-bait lirik di atas terpaksa ditukar.

Namun untuk versi rakaman antarabangsa, bait-bait itulah yang menjadikan lagu tersebut sangat popular sehingga menjuarai carta lagu-lagu raggae di United Kingdom untuk tempoh yang agak lama.

Mungkin kita tidak bersetuju dengan judul lagu itu kerana pada hakikatnya menjadi miskin bukanlah satu jenayah. Namun satu hakikat lain yang tidak boleh dinafi ialah kemiskinan dan jenayah itu mempunyai pertalian yang cukup rapat.

Banyak kajian yang dijalankan mengenai sebab-sebab kecenderungan seseorang melakukan jenayah meletakkan kemiskinan sebagai punca utamanya.

Hanya selepas itu barulah ia disusuli oleh sebab-sebab yang lain pengaruh kawan-kawan, dadah, politik, agama, keadaan keluarga, masyarakat dan pengangguran.

Soal sama ada kemiskinan itu berpunca daripada ketidakadilan sosial, persekitaran ekonomi yang tidak merangsang, ketidakstabilan politik dan sebagainya adalah perkara yang lain.

Apa yang penting selagi dibelenggu kemiskinan, selagi itu pintu untuk terlibat dengan jenayah menjadi luas terbuka.

Memang benar kadar jenayah di sesuatu tempat tidak ditentukan oleh kadar kemiskinan di tempat yang sama.

Ini bermakna tidak semestinya ramai orang miskin akan menyebabkan kadar jenayah juga tinggi. Namun hubungan antara kedua-duanya tetap ada.

Tarikan untuk melakukan jenayah lebih besar di kalangan penghuni di kawasan yang tinggi kadar kemiskinannya berbanding dengan mereka yang mendiami kawasan kelas pertengahan atau kelas menengah.

Walaupun ada sarjana-sarjana Barat seperti William Barr, William Scott Dwyer dan Patrick Fagan menolak teori kemiskinan sebagai punca jenayah, namun mereka tidak pula menolak kaitannya.

Dengan perkataan lain jika kemiskinan bukan akar umbi jenayah sekalipun, ia tetap boleh menjadi dahan dan rantingnya.

Pendidikan yang baik merupakan kunci kepada kehidupan yang lebih baik. Ini juga satu hakikat.
Namun pendidikan yang baik jarang diperoleh oleh mereka yang datang dari lembah kemiskinan.

Ketidakupayaan keluarga dari segi kewangan terbukti menyebabkan banyak pelajar tercicir dan anak-anak yang tercicir ini merupakan kumpulan paling terdedah kepada aktiviti-aktiviti tidak sihat.

Keluarga yang harmoni juga memainkan peranan dalam menentukan sikap dan hala tuju seseorang.

Anak-anak yang lahir daripada keluarga sedemikian lebih mudah mencapai kejayaan dalam hidup berbanding dengan yang sebaliknya.

Namun keharmonian dan kemiskinan selalunya berada di laluan yang bertentangan.

Satu laporan media pada Mei 2019 menyebut bahawa statistik menunjukkan kajian daripada 6,901 kes perceraian pasangan bukan Islam pada tahun 2018, 2,971 daripadanya berpunca daripada masalah kewangan.

Walaupun mempunyai masalah kewangan bukan bermakna miskin, namun kaitannya tetap ada, baik secara langsung ataupun tidak.
Jika tidak miskin harta sekalipun, mereka yang mempunyai masalah kewangan cenderung untuk miskin jiwa.

Dalam kehidupan serba kurang, keharmonian sukar dibina.

Tumpuan ibu bapa kepada anak-anak akan berkurangan disebabkan banyak masa terpaksa diberikan kepada perjuangan untuk hidup.
Dalam senario yang lebih buruk, keluarga berkenaan lebih terdedah kepada pergeseran yang mungkin membawa kepada keretakan dan seterusnya perceraian.

Anak-anak yang datang dari keluarga seperti ini juga sering gagal mendapat pendidikan yang sempurna.

Mereka terkorban di tengah jalan bukan disebabkan tidak berminat untuk belajar atau tidak berpotensi menjadi pelajar yang berjaya, sebaliknya mereka menjadi korban kepada bebanan masalah keluarga.

Mereka ini akhirnya memasuki kelompok yang rentan kepada tarikan-tarikan jenayah.
Bukanlah perkara pelik jika tokan-tokan dadah atau taiko-taiko kongsi gelap berkeliaran mencari kader di kawasan-kawasan penempatan miskin.

Bukan juga aneh jika pedagang-pedagang manusia menyasarkan anak-anak miskin di kawasan yang sama untuk merekrut ejen dan mangsa.
Ia bukan sekadar babak dalam filem, tetapi realiti dalam kehidupan.

Di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, di mana bahang kemiskinannya lebih ‘sadis’ berbanding dengan kemiskinan di luar bandar, tarikan-tarikan ke arah kejahatan sentiasa lebih banyak berbanding yang menarik kepada kebaikan.

Seorang anak muda yang tercicir, yang datang daripada sebuah keluarga miskin yang berantakan akan melihat kemiskinan sebagai musuh yang telah memusnahkan potensinya.
Dia akan berusaha untuk tidak lagi menjadi miskin, kalau boleh dalam tempoh sesegera mungkin.

Dia mahu membalas dendam terhadap kemiskinan dan jalan pintas yang terbaik selalunya hanya ada bersama kejahatan.
Walaupun laporan Statistik Jenayah 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada November 2019 menunjukkan nisbah jenayah indeks bagi 100,000 penduduk di Kuala Lumpur pada tahun 2018 adalah 642.6 iaitu lebih tinggi daripada paras nasional (273,8), namun pada dasarnya Kuala Lumpur masih merupakan sebuah bandar raya yang selamat.
Kadar itu juga jauh lebih rendah berbanding dengan puluhan bandar raya utama dunia yang lain.

Malah satu kenyataan oleh Polis Kuala Lumpur pada September 2020 menyebut bahawa indeks jenayah di Kuala Lumpur turun dengan kadar yang tinggi pada tahun lalu (2020) berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Memastikan supaya kadar jenayah itu kekal rendah, atau menjadi lebih rendah bukanlah tugas mudah.

Ia juga tidak boleh dicapai semata-mata dengan gari, lokap dan penjara.

Tugasan lain yang lebih penting, yang perlu dilaksana oleh kerajaan adalah memastikan kadar kemiskinan di ibu negara ini menurun dari semasa ke semasa kerana jika perkara itu berlaku, diyakini kadar jenayah juga akan turut turun bersamanya.

Memang benar, menjadi miskin bukan satu dosa. Namun perlu diingat bahawa membiarkan yang miskin terus miskin juga tidak akan mendapat pahala.

Nama kolum 3M adalah singkatan kepada Melawan Maksud Miskin yang akan memfokuskan isu berkaitan kemiskinan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas