Berita

Kadar pematuhan PKPD di Labuan mencapai 95 peratus – Polis Labuan

suntikan vaksin.
- Diterbit 1 Jun 2021 2:07 AM MYT

KADAR pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Bebas Cukai itu bermula Rabu lalu mencatatkan kadar pematuhan sebanyak 95 peratus.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila berkata, hari pertama ­pelaksanaan dan pematuhan PKPD oleh orang awam mencapai sebanyak 95 peratus.
Katanya, pihaknya telah memeriksa sebanyak 750 buah kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Tun Mustapha adalah mereka yang terlibatn dalam sektor penting dan urusan menerima suntikan vaksin.

“Selain itu, kita (PDRM) turut mengadakan rondaan di ­setiap kampung bagi memastikan ­masyarakat terus patuh PKPD yang telah berkuat kuasa bermula 26 Mei sehingga 24 Jun,” katanya dalam satu sidang media selepas beliau meninjau keadaan SJR di Jalan Tun Mustapha disini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, Deputi Superintendan Ibrahim Ghani.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Mohd Ismail ­memaklumkan bahawa pihaknya telah membenarkan dua individu dalam satu kenderaan ­persendirian berdasarkan kelonggaran bagi hal-hal kecemasan sahaja iaitu mereka yang ­bekerja di sektor penting dan urusan ­kesihatan sahaja.

Jelas Rithuan, sebelum ini SOP PKPD hanya membenarkan hanya seorang sahaja bagi sebuah kenderaan persendirian.

“Setelah mengambil kira terhadap rintihan orang awam menghadapi kesukaran berkaitan SOP itu, maka dengan itu kita bersetuju memberikan kelonggaran dengan memberikan kebenaran bagi sebuah kenderaan untuk dua individu mengikut dasar-dasar kelonggaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas