Berita

Covid-19:168 kes pulih, jumlah keseluruhan 2,276 kes

DR. NOOR HISHAM
- Diterbit 13 April 2020 12:51 PM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah pesakit Covid-19 yang pulih terus mencatatkan peningkatan apabila terdapat 168 kes dibenarkan keluar dari wad setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 2,276 kes atau 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Bagaimanapun, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, terdapat 134 kes baharu yang dilaporkan dan menjadikan jumlah kes positif adalah sebanyak 4,817 kes.

“Seramai 66 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 36 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu lagi kes kematian yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 77 kes atau 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-77 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun iaitu peserta perhimpunan di Seri Petaling.

“Lelaki terbabit mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Lelaki yang dirawat di Hospital Melaka ini meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas