Berita

Covid-19:88 peratus kes positif di peringkat awal

|
- Diterbit 13 April 2020 1:15 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 88 peratus kes positif Covid-19 merupakan pesakit yang dikesan berada pada peringkat awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengesanan terhadap pesakit yang berada di peringkat awal itu hasil daripada tindakan diambil iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita kalau boleh mahu mengelakkan pesakit datang ke hospital pada peringkat lewat. Ini kerana jika lewat, mereka mungkin dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Oleh demikian, penting kepada semua masyarakat untuk kekal di rumah, amalkan jarak selamat dan kerap membasuh tangan. Mesej ini penting terutama mereka yang kini berada di zon merah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai talian sokongan untuk Covid-19, Dr. Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 2,309 panggilan telefon dan 2,520 pesanan mesej melalui aplikasi Whatsapp bermula 28 Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, sehingga pukul 4.30 petang tadi, ada penambahan sebanyak 150 panggilan dan lebih 1,000 mesej diterima.

“Terdapat tiga isu utama yang kita terima iaitu berkaitan sokongan emosi, psikologi dan kaunseling dalam menghadapi PKP untuk ketiga- tiga fasa.

“Seterusnya adalah berkaitan sumbangan dan terakhir ialah masyarakat ingin maklumat lanjut berkenaan Covid-19,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas