Berita

COVID-19: 79 dikompaun langgar SOP di Labuan

- Diterbit 11 Mei 2021 6:24 AM MYT

SEKURANG-kurangnya 79 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini dari 3 Mac lepas hingga hari ini.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata kesalahan itu termasuk gagal mengimbas kod MySejahtera dengan 27 kes, cuba merentas negeri tanpa permit polis (24) dan gagal mematuhi arahan kuarantin (19).

“Kompaun yang dikeluarkan antara RM1,500 hingga RM25,000.Operator pusat hiburan dikenakan kompaun tertinggi itu kerana didapati menjalankan aktiviti hiburan pada waktu malam yang melanggar SOP,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selain itu, sebanyak enam kesalahan direkodkan kerana tidak memakai pelitup muka dan tiga kes akibat gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

Rithuan berkata sebanyak 492 premis termasuk bangunan kerajaan, rumah ibadat, sekolah, tempat awam dan rekreasi serta pengangkutan awam sudah disanitasi dari 3 Mac hingga hari ini.

“Anggota polis dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bersiap sedia di pintu masuk Labuan iaitu di terminal feri dan lapangan terbang untuk memastikan pengunjung mempunyai permit polis,” katanya.

Beliau berkata Labuan telah menubuhkan lima pasukan pemantau terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Labuan (LC).

Rithuan berkata pasukan ini yang dikendalikan oleh 85 anggota setakat ini telah melakukan pemantauan ke atas 610 premis dan 35 pusat kuarantin di hotel yang kini menempatkan 384 individu yang sedang dikuarantin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas