Berita

Covid-19: 103 pesakit pulih, satu kes kematian

KESUNGGUHAN petugas barisan hadapan membuahkan hasil apabila ramai pesakit Covid-19 berjaya pulih. Gambar hiasan
- Diterbit 22 April 2020 10:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 50 kes baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 di negara ini mencecah 5,532 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 62.4 peratus kes sudah pulih dan dibenarkan keluar dengan 103 kes dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah pulih keseluruhan kes positif Covid-19 ialah 3,452 kes.

“Bilangan pesakit dibenarkan keluar hari ini melebihi dua kali ganda kes baharu.

“Kes yang aktif dan boleh berjangkit sebanyak 1,987 dan semua pesakit ini diasingkan dan dirawat,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 43 pesakit diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 25 darinya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, terdapat juga satu pertambahan kematian membabitkan wanita warga tempatan berusia 72 tahun.

“Mangsa mempunyai sakit barah dan darah tinggi. Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 9.15 pagi tadi. Ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 93 kes di negara ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas