Berita

Helpline 24 jam bantu penduduk bawah PKPD Pasar Borong KL

TALIAN helpline disediakan untuk memudahkan penduduk di sekitar Pasar Borong KL.
- Diterbit 22 April 2020 10:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan menyediakan talian ‘helpline’ 24 jam di setiap blok berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dekat sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, dengan adanya talian berkenaan, penduduk dapat menyuarakan masalah yang dihadapi bagi memudahkan bantuan dihulurkan dengan segera.

“Setiap blok yang dikenakan PKPD itu ada nombor telefon yang diletakkan mulai semalam. Petugas ditempatkan supaya dapat memberi perhatian segera.

“Sebagai contoh di Parcel D dalam konteks peta kita iaitu (lokasi) ada kematian dan beberapa kes positif Covid-19, kalau anda tinggal di situ boleh hubungi nombor 011-31438563,” katanya dalam LIVE Facebook hari ini.

Menurut Annuar, bagi memudahkan skuad yang dilantik mengendalikan penduduk setempat, setiap blok akan mempunyai talian tersendiri serta seorang petugas.

Ujarnya, pecahan lokasi yang ditetapkan adalah Parcel C (011-36435573), Parcel B (011-31438600), Parcel A (011-36435402) dan Parcel F (011-31438364).

“Bagi Sri Murni, terdapat tiga blok kecil di sekelilingnya dan ia dibahagikan kepada Parcel E3 (011-33759712), Parcel E2 (011-31438085) dan Parcel E1 (011-36435467).

“Peta dan maklumat akan diedarkan supaya penduduk tahu kedudukan mereka dan nombor yang perlu dihubungi. Pembahagian itu juga membolehkan petugas mahir menguruskan blok,” jelasnya.

Dalam pada itu, Annuar juga menasihati semua penduduk yang terlibat di bawah pelaksanaan PKPD supaya tidak khuatir atau stress kerana terdapat petugas untuk membantu segala permasalahan.

Mengulas tentang penghuni bukan warganegara pula, ujar beliau, bantuan diselaraskan oleh pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemegang kad UNHCR atau negara luar boleh menghubungi kedutaan masing-masing selain turut menerima sumbangan bekalan bahan mentah.

Tambah beliau, bagi warganegara pula, mereka disediakan bantuan bahan mentah menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas