Berita

i-Hya Ramadhan: Menu hanya RM10 seorang

ZAIZALNIZAM memberi penjelasan mengenai cara memberi sumbangan melalui talian i-Hya Ramadhan yang dilancarkan hari ini.
- Diterbit 22 April 2020 10:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Dengan hanya berinfaq sebanyak RM10 bagi satu menu makanan dengan minimum 20 pek, orang ramai boleh terus menghidupkan ibadah bersedekah pada bulan Ramadan ini.

Sistem yang lebih komprehensif, mudah dan murah ini sekali gus mengekalkan tradisi bersedekah walaupun dalam situasi penjarakan sosial kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, sistem atas talian bagi i-Hya Ramadhan yang bermula hari ini boleh dilayari menerusi laman sesawang YWP, www.yayasanwp.org.my.

“Klik logo i-Hya Ramadhan dan terus kepada pendaftaran pengguna. Ia adalah sistem untuk pilihan beri sumbangan dan golongan sasaran.

“Kalau (penyumbang) nak sumbang wang saja atau ada senarai sendiri boleh klik (pada pilihan berkaitan). Pembayaran terus kepada sistem, kita buat potongan melalui debit atau kredit kad,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa LIVE Facebook bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa hari ini.

Menurut Zaizalnizam, penyumbang juga boleh memilih jenis menu yang sudah disediakan dalam sistem berkenaan sebelum membuat pembayaran dan resit bayaran akan diberikan.

Difahamkan, lebih 20,000 senarai penerima disenaraikan YWP termasuk petugas barisan hadapan, gelandangan dan golongan yang memerlukan seperti orang miskin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas