Berita

Cotton Donut gebu, comel, beraneka perisa

NAJAH SALWA menunjukkan pelbagai jenis donut di gerai jualannya.
- Diterbit 24 Julai 2023 4:05 AM MYT

BAGI penggemar kuih donut di sekitar Putrajaya pasti tidak asing lagi dengan jenama Cotton Donut yang dihasilkan Najah Salwa Ismail. Sungguhpun tidak memiliki kedai fizikal namun keenakannya sering diperkatakan.

Beroperasi secara atas talian selain pelanggan boleh mengunjungi beberapa lokasi jualan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya, menariknya Cotton Donut tampil lebih daripada 20 perisa.

“Kalau dahulu donut gula amat diminati namun dengan peredaran zaman pelbagai topping ditawarkan antara permintaan tinggi adalah cheese parut, kit kat, cadbury, oreo, biscoff dan chicken floss.

“Sementara untuk kanak-kanak pula kita tawarkan marshmallow, unicorn, snow ball dan banyak lagi untuk menarik minat mereka,” ujarnya yang membuka gerai di beberapa lokasi berbeza pada setiap hari.

Bercerita lanjut tentang produknya itu, wanita berusia 39 tahun ini berkata, idea untuk membuat topping donut untuk kanak-kanak bermula daripada anak saudaranya.

“Mulanya saya bagi peluang dia hias, saya tengok menarik sebab kanak-kanak lebih sukakan warna-warna yang terang dan bentuk yang comel jadi secara tidak langsung kita putuskan untuk jual idea topping tersebut.

“Selain itu, saya juga turut merujuk beberapa laman web untuk mencari idea menghias donut,” ujarnya yang sentiasa tidak jemu menambah baik Cotton Donut daripada pelbagai sudut.

Tambahnya, kebanyakan pelanggannya berpuas hati dengan saiz Cotton Donut yang dijualnya kerana agak besar jika dibandingkan dengan donut lain yang terdapat di pasaran.

“Pun begitu ada juga saya mendapat maklum balas yang meminta saya menjual donut pelbagai saiz kerana jika saiz yang ada sekarang membuatkan mereka cepat kenyang dan tak berpeluang menikmati perisa lain,” ujarnya yang sentiasa sabar melayani permintaan pelanggan.

Tambahnya, bagi mengekalkan kesegaran dan keenakan, dia akan membuat donut setiap hari mengikut lokasi perniagaan dan permintaan daripada para pelanggannya.

“Setiap tempat mempunyai permintaan yang berbeza sebagai contoh ada 20 perisa tapi kita akan pilih dalam 10 sahaja dan ia akan bertukar pada keesokan hari tetapi mana yang best seller akan dikeluarkan setiap hari.

“Ada hari kita mampu jual sehingga 80 ke 90 tray namun ia bergantung kepada lokasi,” kongsinya yang pernah menerima tempahan dari Johor bagi tujuan majlis keraian.

Katanya lagi, dia gembira apabila ramai pelanggan memberi maklum balas positif antaranya Cotton Donut lembut meskipun ia disimpan selama tiga hari di dalam bekas bertutup.

Memandang jauh ke hadapan, Najah menyimpan hasrat untuk memperluaskan jenamanya ke seluruh negara dalam masa terdekat.

“Buat masa ini boleh dikatakan kami dikenali di kawasan Putrajaya serta tidak asing lagi dengan komuniti setempat. Untuk itu, sasaran seterusnya memperluaskan perniagaan ke negeri lain terutama di Semenanjung dalam tahun ini,” terangnya nama Cotton Donut menggambarkan tekstur donutnya yang gebu.

PRODUK BAHARU MINI CHEESY CAKES

SELAIN donut, dia juga turut mengeluarkan produk baharu iaitu mini cheesy cakes khusus buat penggemar kek dengan menawarkan lima jenis perisa iaitu coklat, oren, pandan gula melaka, red velvet dan banana biscoff pada harga RM2.50 sebiji.

“Dalam kek tu filling kebanyakannya adalah milk coklat tetapi untuk pandan gula melaka intinya adalah gula melaka manakala banana biscoff di dalamnya ialah biscoff.

“Kita juga sediakan saiz yang lebih kecil seakan kuih lompang dengan topping cheese sauce dan chocolate drizzle bagi permintaan untuk sebarang majlis dengan harga RM40 satu kotak (25 biji),” ujarnya tidak menyangka ramai yang menyambut baik produk baru tersebut. – WILAYAHKU

 

LOKASI JUALAN
Isnin: Kastam Putrajaya
Selasa: Kementerian Pengajian Tinggi & Jabatan Akauntan Negara
Rabu: Kementerian Pengajian Tinggi
Khamis: Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Jumaat: Kementerian Pengajian Tinggi
Sabtu: Kompleks Kejiranan Presint 16 & Cyberjaya
Ahad: Kompleks Kejiranan Presint 16

 

Waktu Operasi: 12 tengah hari hingga 2 petang (Isnin-Jumaat)
8 pagi hingga 12 tengah hari (Sabtu & Ahad)
4 petang hingga 10 malam (Cyberjaya)

Facebook: Cotton Donut

Instagram: @cottondonut_

Nombor telefon: 019-676 8776

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas