Berita

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Salahuddin

DATUK Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 9.23 malam, semalam di Hsopital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
- Diterbit 24 Julai 2023 3:35 AM MYT

YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub atas pemergian beliau semalam (23 Julai).

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di HSB. Jenazah dibawa menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar, Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, pada jam 2.30 pagi.

Jenazahnya kemudian dibawa menaiki van jenazah ke kediaman ibunya, Aminah Abdullah, 83, di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas