Artikel

Cabaran kekalkan kemerdekaan

SEKUMPULAN wanita meraikan Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
SEKUMPULAN wanita meraikan Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:09 AM MYT

BARU-BARU ini Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam nada begitu tegas menyatakan bahawa tidak kira mana-mana kaum atau pihak yang menghina angkatan tentera boleh dianggap sebagai musuh negara.

Bagi beliau, orang ramai tidak dihalang untuk memberikan pandangan atau kritikan terhadap pasukan keselamatan itu tetapi jangan sampai ke tahap menghina atau memperlekehkan barisan pertama pertahanan negara itu.

Dalam sejarah yang panjang enam dekad kemerdekaan, pasukan tentera memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Dari zaman darurat melawan pengganas komunis, konfrantasi dengan Indonesia hinggalah kepada pencerobohan tentera Jamalul Kiram III di Lahad Datu, Sabah, pasukan Angkatan Tentera Malaysia sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankan keselamatan negara.

Kerana merekalah negara ini aman hingga ramai yang tidak tersedar. Keamanan dikecapi kerana tentera terutama unit risikan berjaya memainkan peranan mereka. Begitu dengan risikan pasukan polis.

Hasil kecekapan mereka menangani non traditional war banyak membuahkan hasil dalam menggagalkan percubaan kumpulan teroris untuk melakukan serangan.

Jasa mereka itulah yang membolehkan seluruh rakyat boleh tidur lena, bebas bergerak dan mencari rezeki. Malah dengan keamanan itu banyak pihak boleh mengumpul kekayaan.

Lantas melalui kekayaan itu cukai dapat dinikmati kerajaan untuk disalurkan kepada pembangunan negara termasuk melengkapkan sistem pertahanan negara.

Sedangkan betapa ramai anggota keselamatan tidak dapat tidur lena, sebaliknya berkawal di perbatasan negara atau mengawal radar bagi memastikan tiada pencerobohan di ruang udara negara.

Dalam hal ini, mengekalkan kemerdekaan adalah cabaran utama bagi negara. Dengan landskap demografi yang dibentuk daripada pelbagai kaum, etnik dan agama, sebarang insiden dan provokasi begitu mudah mencetuskan ketegangan. Pasukan keselamatan negara harus jitu dan tidak berpecah serta terpengaruh dengan sentimen yang berlaku dalam negara.

Seperti mana penegasan Menteri Pertahanan tempoh hari, pasukan pertahanan negara tidak boleh terpengaruh dengan perbezaan pandangan dalam kalangan netizen sebaliknya perlu jitu dan utuh.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas