Artikel

Gagasan membina kehidupan sifar hutang

PERBANDINGAN matawang dahulu dan sekarang boleh disemak di Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan
PERBANDINGAN matawang dahulu dan sekarang boleh disemak di Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2019 6:04 AM MYT

PERDANA MENTERI, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya semasa majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini tinggi iaitu pada kadar 82.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dr. Mahathir berkata, kadar ini adalah lebih tinggi berbanding negara-negara berpendapatan perkapita yang tinggi seperti Itali (40.3 peratus daripada KDNK), Jepun (58.1 peratus) dan Amerika Syarikat (76.3 peratus).

Katanya lagi, meskipun risiko hutang isi rumah ke atas kestabilan kewangan domestik adalah terkawal, telah wujud tanda-tanda kesukaran dalam kalangan peminjam untuk membayar balik hutang.

Jelasnya, hal ini berlaku terutamanya kepada peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan tinggal di kawasan bandar.

Sistem kapitalisme yang diamalkan di seluruh dunia ini secara realistik menggalakkan hutang secara bersistem dan berterusan. Perniagaan yang berasaskan riba kini yang paling menguntungkan.

Terjerat

Ibaratnya kita terjerat dengan sistem hutang secara sistematik dan perlu membayar sehingga lewat usia kecuali meninggal dunia kerana dilindungi insurans atau takaful.

Saya tertarik dengan alternatif yang diberikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff yang mencadangkan platform pinjaman berasaskan qarhul hassan iaitu pinjaman tanpa riba.

Kerajaan termasuk kerajaan negeri bagi hemat saya mampu untuk melaksanakan pinjaman ini sekiranya mengambil kira tanah-tanah kerajaan negeri yang tidak dimaksimumkan kegunaannya atau terbiar untuk dibina taman-taman perumahan, apartment atau rumah flat.

Selain itu, selepas kajian teliti iaitu berkaitan kos untuk membina setiap unit lot kediaman dan kadar keuntungan yang boleh diperoleh serta tempoh pembayaran yang fleksibel merupakan antara solusi yang membolehkan golongan muda mempunyai kediaman sendiri.

Hakikatnya, pasaran hartanah meningkat setiap tahun dan secara jujur golongan muda baru berkahwin tidak mampu mengejar kepantasan ini. Selain itu, bagi golongan muda, sebaiknya jangan membuat pinjaman peribadi untuk berkahwin dan terjebak dengan kad kredit kerana diikat dengan komitmen untuk jangka masa panjang.

Belajar menyimpan untuk berkahwin dengan pelbagai mekanisme seperti pinjaman ASB, Tabung Haji atau simpanan emas sebagai pelaburan jangka masa pendek dan panjang.

Mereka perlu tekadkan diri untuk tidak mengeluarkan simpanan tersebut sehingga benar-benar diperlukan dan sebaik-baiknya membayar tunai bagi setiap pembelian.

Sekiranya kenderaan kita masih boleh digunakan dan jarang mendiami bengkel sabarlah berbanding menunai cita-cita menukar kereta baharu yang lebih mahal.

Dalam pada itu, sekiranya ada komitmen bulanan yang boleh dipotong seperti penjimatan bil utiliti, telefon, bil stesen televisyen berbayar walaupun sekadar RM100 hingga RM200 sebulan, ternyata itu mempunyai impak yang besar untuk jangka masa panjang.

Sekiranya simpanan KWSP sudah agak tinggi, gunakan simpanan akaun KWSP itu untuk melangsaikan pinjaman pendidikan, membayar pinjaman perumahan pertama dan boleh juga digunakan untuk membina rumah.

Akhir sekali, semua terletak kepada kebijaksanaan kita untuk menyimpan dan melabur. Konsep negara kita yang makmur ini membolehkan kita mencari pendapatan sampingan secara nyata ataupun hanya melalui telefon pintar masing-masing. Jika kena gayanya, pendapatan sampingan ini mampu melebihi gaji bulanan. Cuma anda perlu hati-hati dengan skim-skim pelaburan yang tidak sah. Akhir kata, jangan sesekali meminjam daripada ah long!

Megat Lutfi Megat Rahim me­rupakan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas