Artikel

Tan Kok Wai terus dipercayai warga Cheras

- Diterbit 30 Januari 2024 9:29 AM MYT

AHLI Parlimen Cheras mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tan Kok Wai merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang sanggup menolong golongan kurang berkemampuan tanpa mengira masa, bangsa mahupun agama.

Segala permasalahan ditangani dengan tenang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang berliku menjadikan beliau antara Ahli Parlimen yang sentiasa mendengar dan dekat di hati rakyat.

Baru-baru ini Wilayahku berpeluang mendengar pengalaman figura hebat ini sepanjang tempoh perkhidmatannya bagi sembilan penggal.

Apa yang boleh YB kupaskan sepanjang perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen Cheras?

Sebagai seorang Ahli Parlimen, ia adalah satu amanah atau tanggungjawab yang sangat berat untuk digalas. Banyak perkara yang perlu ditangani terutamanya dalam membantu rakyat bagi kelangsungan hidup.

Orang ramai ingat jadi seorang YB ini adalah satu perkara yang glamor, goyang kaki, tapi hakikatnya pula adalah sebaliknya, ia bukan seindah yang disangka, jiwa mesti kental, tenaga juga perlu semaksima mungkin dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar Ahli Parlimen Cheras?

Tidak mungkin tiada masalah, bila adanya masalah adalah cabaran yang perlu dilalui bagi menyelesaikan segala isu-isu yang berbangkit lebih-lebih lagi di kawasan ibu kota ini.

Antara masalah utama di kawasan ini ialah kepadatan penduduk, kesesakan lalu lintas, pembangunan yang tidak terkawal, kekurangan ruang parkir, penjaja yang tidak teratur serta masalah gelandangan. Semua ini adalah masalah utama yang perlu didepani.

Apakah pelan tindakan yang diambil oleh pihak YB?

Sudah tentunya kami ada banyak perancangan jangka panjang dan jangka pendek. Contohnya, di kawasan Cheras terkenal dengan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk, justeru itu, saya bekerjasama dengan kerajaan dan agensi-agensi berkaitan bagi mengurangkan aliran kesesakan yang berlaku.

Selain itu, suka untuk saya katakan, setakat ini, antara pilihan terbaik ialah penggunaan pengangkutan awam. Selain dapat menjimatkan perbelanjaan seperti petrol, kos perbaiki kenderaan, tol dan pelbagai lagi.

Masalah penjaja antara isu yang saban hari terjadi, apakah gerak kerja yang telah dilaksanakan YB?

Masalah ini boleh kata terjadi di semua tempat, terutamanya lokasi tengah bandar Kuala Lumpur. Setakat hari ini, kita bergerak bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari solusi seperti penempatan gerai tetap bagi mengelakkan masalah penjaja kaki lima. Daripada situ juga masalah lalu lintas dapat diatasi.

Malah jika tidak dibendung masalah ia boleh menimbulkan barah seperti penjaja warga asing. Justeru itu, tindakan pantas serta perancangan jangka pendek dan panjang adalah amat perlu.

Kawasan di sekitar Kuala Lumpur juga sering kali berdepan masalah banjir, bagaimana YB mengatasi masalah tersebut?

Tidak dinafikan, banyak kejadian banjir yang berlaku di sekitar kawasan ibu kota, malah tidak terkecuali juga di sekitar Parlimen Cheras ini.

Sebagai contoh ada satu sekolah di kawasan Jalan Peel yang dinaiki air, saya dan pasukan membantu daripada segi kebersihan, keperluan seperti meja dan kerusi, dan sebagainya.

Situasi banjir ini memang sesuatu yang sukar untuk dijangka, namun, kerajaan menerusi pasukan keselamatan sering berada di kawasan hot spot untuk mencegah keadaan menjadi lebih parah.

Mengapa masalah setinggan menjadi antara cabaran utama YB sepanjang perkhidmatan di sini?

Dahulu di ibu kota dan di tempat pinggiran kita, memang banyak kawasan-kawasan setinggan dibangunkan. Antara jalan penyelesaian yang telah dilaksanakan seperti penyediaan perumahan kos rendah bagi membantu mereka.
Ia bukan satu kerja mudah untuk dilakukan tetapi saya bersama pasukan dan kerajaan terus berusaha membasmi perumahan setinggan yang masih wujud.

Apakah sumbangan atau bantuan yang dapat YB ceritakan sepanjang perkhidmatan di sini?

Keutamaan saya adalah keselesaan kelangsungan hidup bagi penduduk di kawasan Parlimen Cheras ini, di pejabat juga saya amalkan konsep terbuka, sesiapa sahaja khususnya penduduk kawasan Cheras boleh datang berkongsi masalah kepada saya.

Saya boleh katakan, hampir setiap hari, kira-kira 30 orang akan datang ke pejabat saya, dan menceritakan masalah mereka. Antaranya masalah barangan keperluan, hilang punca pendapatan, jalan berlubang dan pelbagai rintihan rakyat.

Di peringkat sekolah sahaja, boleh saya katakan, kira-kira 30 buah sekolah rendah termasuk menengah menerima bantuan dari pelbagai segi termasuk wang ringgit yang berjumlah RM30,000. Malah, itu mengikut kepada peruntukan yang disediakan kerajaan. Jika mereka masih lagi memerlukan dana atau barangan keperluan, saya tidak teragak-agak untuk membantu.

Saya dan pasukan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan dalam mencari solusi membantu mereka.

Apakah perancangan masa hadapan YB terhadap penduduk Parlimen Cheras?

Secara hakikatnya memang banyak perancangan yang telah diatur serta gerak kerja yang telah dilaksanakan dalam usaha bagi membantu kelangsungan hidup penduduk kawasan ini.

Kerajaan juga banyak membantu golongan yang kurang berkemampuan dan tidak meminggirkan nasib mereka. Justeru itu, saya merasakan adalah tanggungjawab saya untuk terus memberikan khidmat bakti yang paling terbaik dan berkesan untuk seluruh penduduk kawasan Ahli Parlimen Cheras ini.

Kepentingan penduduk dilihat sebagai keutamaan YB sepanjang perkhidmatan, apa yang YB dapat simpulkan demi terus menjaga kesejahteraan dan keharmonian yang terjalin sehingga ke hari ini?

Tanpa sokongan penduduk tiadalah saya di sini, oleh kerana itu, keselesaan, kepercayaan mereka adalah keutamaan. Saya bersama rakan-rakan lain amat bersyukur dengan hubungan baik yang terjalin ini.

Namun, banyak lagi yang boleh diperbaiki daripada pelbagai segi, saya tidak mahu merasa selesa dan percayalah selagi saya di tampuk kepimpinan ini maka kesemua pasukan akan terus memberikan khidmat yang terbaik.

Segala isu yang berbangkit akan diselesaikan dan mencari solusi bagi semua pihak. Tanpa sokongan serta kepercayaan rakyat di sisi siapalah kami di sini.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas