Berita

Bimbang caj hospital makin tinggi

AZIH-Muda
AZIH-Muda
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:54 AM MYT

SELAMA ini masyarakat ha­nya melihat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dari sudut perjuangannya menuntut kenaikan gaji dan pemberian bonus kakitangan awam. Namun sebenarnya kesatu­an sekerja itu turut menekankan soal kebajikan dan kesejah­teraan kakitangan kerajaan.

Presidennya, DATUK AZIH MUDA berkata, pihak kesatuan turut menitikberatkan kebajikan kesihatan kira-kira satu juta ahlinya melalui program takaful, CuepacsCare yang telah diperkenalkan sejak tahun 1999.

Ikuti temubual Wilayahku bersama Azih bagi menjelaskan usa­ha yang dilakukan CUEPACS untuk memastikan ahli-ahlinya dapat menikmati kemudahan perubatan kesihatan yang lebih baik.

WILAYAHKU: Apakah usaha yang dilaksanakan oleh CUEPACS dalam meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga penjawat awam?

AZIH: CUEPACS merupakan gabungan kesatuan sekerja sektor awam di negara ini yang mempunyai peranan besar dalam menjaga kepentingan kakitangan kerajaan bukan sahaja daripada segi tuntutan kenaikan gaji, elaun dan kemudahan, tetapi melibatkan soal kebajikan ahli dan keluarga mereka.

Dalam soal kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam, CUEPACS tidak mahu ahli terlalu bergantung kepada kerajaan sahaja. Atas dasar ini, CUEPACS mengambil inisiatif memperkenalkan Program Mentakafulkan Penjawat Awam Melalui MyCuepacsCare yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Himpunan Perdana CUEPACS pada Mac lalu.

Matlamat program ini adalah untuk memastikan setiap penjawat awam memiliki sekurang-kurangnya satu perlindungan takaful sebagai persediaan menghadapi musibah atau kemalangan tidak dijangka.

WILAYAHKU: Boleh jelaskan dengan lebih terperinci mengenai program takaful CuepacsCare ini?

AZIH: Sebagai kakitangan kerajaan, penjawat awam dan ahli keluarga layak menerima rawatan kesihatan di hospital kerajaan secara percuma tanpa dikenakan bayaran. Bagaimanapun, bilangan doktor pakar yang terhad serta jumlah pesakit yang terlalu ramai menyebabkan penjawat awam terpaksa menunggu giliran agak lama sebelum menerima rawatan.

Untuk mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pula, kos rawatannya agak tinggi dan perlu ditanggung sendiri oleh penjawat awam.

Justeru CUEPACS dengan kerjsama Medicare Assistance Sdn. Bhd. telah memperkenalkan program takaful CuepacsCare pada tahun 1999 bagi mengatasi masalah ini.

Dengan bayaran bulanan serendah RM40 untuk pelan individu dan RM106 untuk pelan keluarga, penjawat awam boleh mendapatkan rawatan daripada doktor pakar di hospital swasta dengan lebih pantas dan selesa.

WILAYAHKU: Apa pandangan CUEPACS mengenai kadar bayaran insurans atau takaful perubatan yang sentiasa meningkat setiap tahun?

AZIH: Semua sedia maklum kadar bayaran bulanan yang dikenakan oleh syarikat insurans dan takaful di pasaran adalah terlalu tinggi sekiranya ingin memiliki kad perubatan bagi membolehkan kita menerima rawatan di hospital swasta.

Sebab itu CUEPACS memperkenalkan program takaful CuepacsCare yang menawarkan kadar sumbangan terendah di pasaran. CUEPACS berharap lebih banyak syarikat insurans dapat menawarkan kad perubatan pada harga yang lebih rendah pada masa akan datang supaya rakyat ada pilihan mengikut pelan yang sesuai dengan bajet masing-masing.

WILAYAHKU: Adakah program ini memberi manfaat kepada kerajaan serta penjawat awam?

AZIH: Sudah tentu. CuepacsCare berjaya membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan apabila penjawat awam mempunyai alternatif mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

Setakat ini lebih 500,000 penjawat awam telah menyertai CuepacsCare dengan sejumlah 88,000 telah menerima rawatan dengan nilai tuntutan melebihi RM300 juta.

Nilai RM300 juta itu juga adalah jumlah yang dapat jimatkan kerana sekiranya penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, jumlah tersebut yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan.

WILAYAHKU: Apakah perbezaan CuepacsCare dengan kad perubatan yang dijual oleh syarikat takaful dan insurans lain di pasaran?

AZIH: Daripada sudut manfaatnya sama seperti kad perubatan milik syarikat insurans dan takaful lain di pasaran. Peserta CuepacsCare yang mendapatkan rawatan kemasukan ke wad di hospital swasta tidak perlu mengeluarkan wang mereka untuk membayar bil tersebut kerana ia dilindungi CuepacsCare. Sehingga kini terdapat sebanyak 73 panel hospital pakar swasta yang berdaftar dengan CuepacsCare di seluruh negara.

Perbezaan ketara adalah daripada segi bayaran bulanan yang dikenakan. Ia sangat rendah dan mampu dimiliki. Penjawat awam yang bujang hanya perlu membayar RM40 sebulan. Bagi yang sudah berkeluarga dan ingin melindungi semua ahli keluarga, mereka hanya perlu membayar RM106 sebulan. Bilangan anak pula tiada had.

Harga tersebut tidak akan dapat dinikmati untuk kad perubatan komersial yang dijual di pasaran. Matlamat utama CUEPACS adalah mahu bayaran bulanan CuepacsCare ini serendah mungkin tetapi perlindungan tetap terbaik dapat dinikmati penjawat awam.

WILAYAHKU: Bagaimana penjawat awam boleh menyertai CuepacsCare?

AZIH: Penjawat awam sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun layak menyertai program ini.

Terdapat lebih 600 wakil usahawan MyCuepacsCare di seluruh negara yang aktif memberi taklimat dan membuka kaunter di pejabat serta premis kerajaan.
Mereka boleh mendaftar melalui wakil-wakil yang dilantik MyCuepacsCare untuk memberi penerangan kepada penjawat awam.

Permohonan secara atas talian juga dibuka melalui laman web www.cuepacscare.my. Selain itu, penjawat awam boleh terus ke pejabat Medicare Assistance di Klang, Selangor untuk sebarang pertanyaan.

WILAYAHKU: Apa pandangan CUEPACS mengenai caj bil yang dikenakan oleh hospital swasta ketika ini yang semakin tinggi?

AZIH: Perkara ini semakin membimbangkan terutama melibatkan kadar caj yang tidak munasabah dan pelbagai mengikut jenis pesakit. Jika pesakit menggunakan kad perubatan insurans atau surat jaminan majikan, bil yang dikenakan meningkat berkali ganda berbanding bayaran secara tunai.

Caj yang tinggi dikenakan kepada pemegang kad perubatan akan menyebabkan bayaran bulanan mungkin akan meningkat jika tuntutan melebihi daripada kadar sumbangan peserta.

CuepacsCare pada awal pelancarannya hanya mengenakan kadar sumbangan bulanan serendah RM18.75 untuk kad perubatan keluarga. Hari ini ia terpaksa dinaikkan kerana jumlah tuntutan terlalu tinggi.

Jika situasi ini berterusan, ia akan menjejaskan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat memiliki perlindungan takaful atau insurans. Rakyat pula tidak akan mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas