Berita

Penguatkuasa PPj bakal guna e-bike

AMINUDDIN mencuba menunggang e-bike pada Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal Elektrik daripada SEDA Malaysia kepada PPj baru-baru ini.
AMINUDDIN mencuba menunggang e-bike pada Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal Elektrik daripada SEDA Malaysia kepada PPj baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:52 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Perbada­nan Putrajaya (PPj) berhasrat menjadikan basikal elektrik (e-bike) sebagai salah satu medium penguatkuasaan yang digunakan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj pada masa hadapan.

Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, dengan e-bike, pihaknya dapat mengurangkan kos operasi termasuk minyak dan pembelian kenderaan mahal bagi tujuan pe­nguatkuasaan serta rondaan.

Ujar beliau, pada masa sama, langkah itu dapat membantu Putrajaya mencapai sasaran Bandar Hijau 2025 berikutan kadar pelepasan karbon menerusi asap ken­deraan berkurangan.

“Kalau boleh perlu ada Sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu untuk dicapai pada 2025, contohnya pelepasan karbon dan penggunaan bahan-bahan api. Saya menjangkakan 2025, kita mencapai tahap yang tertinggi dalam penggunaan tenaga semula jadi.

“Kita juga boleh menjadi contoh kepada penguatkusa-penguatkuasa lain dengan menunjukkan bahawa penguatkuasaan boleh dilakukan menggunakan basikal elektrik,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal Elektrik daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia kepada PPj di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Ir. Dr. V. Sanjayan; Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Omairi Hashim dan pegawai-pegawai kanan PPj serta SEDA Malaysia.

Menurut Aminuddin, penggunaan e-bike juga amat efisyen kerana ia adalah satu langkah penjimatan sekali gus membantu menyelamatkan alam di samping mempromosi aktiviti sihat dalam kalangan warga Putrajaya.

Mengulas tentang penggunaan e-bike oleh penguatkuasa, beliau memberitahu, ia akan digunakan untuk bergerak di sekitar Putrajaya.

Tambahnya, ia juga me­rupakan salah satu cara untuk menarik minat penduduk sekitar ke arah membudayakan penggunaan basikal berikutan terdapat sesetengah pihak yang menyalahgunakan laluan basikal.

Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains,Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Suhana Shamshudin memberitahu, pada masa ini kementeriannya, sedang membangunkan rangka kerja bandar rendah karbon yang akan menjadi rujukan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Projek ini adalah untuk menyokong rangka kerja yang dirancangkan itu dan ia me­rupakan inisiatif untuk menggalakkan penduduk bandar membantu mengurangkan penggunaan kereta serta pembebasan karbon.

“Sebagai contoh, kakitangan PPj dapat menggunakan e-bike ini untuk hadir ke mesyuarat atau apa-apa program yang diadakan berhampiran pejabat mereka,” jelas beliau.

Tambah Suhana, penggunaan e-bike juga mudah dan lebih selamat kerana tenaga diperoleh daripada kayuhan pedal basikal.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas