Berita

Bekas vokalis EYE diserang strok, mohon bantuan

MOHD. SHAHRIZZAT (kanan) mendapatkan maklumat berkaitan Izam EYE semasa menziarahnya di Pangsapuri Taman Tun Perak, Cheras baru-baru ini.
MOHD. SHAHRIZZAT (kanan) mendapatkan maklumat berkaitan Izam EYE semasa menziarahnya di Pangsapuri Taman Tun Perak, Cheras baru-baru ini.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bekas vokalis kumpulan EYE yang terkenal dengan lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati memohon bantuan orang ramai untuk membantu menampung kos perubatan yang dianggarkan RM8,000 setahun.

Mohd. Izam Mohd. Arshad, 51, atau lebih dikenali sebagai Izam EYE kini tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan dan terpaksa berkerusi roda selepas terlantar di hospital Serdang akibat serangan angin ahmar.

Walaupun lumpuh sebelah badan, dia tetap menyanyi bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pembangunan Insan Sabah Care untuk membantu umat Islam yang susah.

Malah, bagi mendapatkan sumber pendapatan untuk menyara tujuh orang anak yang berusia 8 hingga 17 tahun, dia menyanyi di pasar-pasar tani dan pasar malam sekitar ibu negara.

Ekoran kesukaran yang dihadapi, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tampil memberi sumbangan. Menurut Eksekutif Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Mohd. Shahrizzat Sirun, sumbangan yang diberikan berupa ‘one-off’ bagi membantu mengurangkan beban Izam EYE.

“Dia terpaksa menanggung kos perubatan sehingga RM8,000 setahun dan menyara tujuh anak serta isteri. “Kita juga dimaklumkan bahawa dia tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak selepas terkena serangan angin ahmar,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas