Berita

Bengkel kongsi teknik tingkat jualan dalam talian

SEKITAR Bengkel Media Sosial ‘Content Creator’ Usahawan Komuniti Putrajaya 2023 yang berlangsung pada 29 Julai lalu.
- Diterbit 5 Ogos 2023 5:00 AM MYT

PERNIAGAAN dalam talian kini tidak lagi asing dalam dunia usahawan memandangkan ia berkesan untuk meluaskan jangkauan promosi, membina kesedaran jenama serta peluang untuk mendekati bakal pelanggan.

Justeru itu, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra) menganjurkan Bengkel Media Sosial Content Creator Usahawan Komuniti Putrajaya 2023 bertempat di Hotel Dorsett, Presint 3, Putrajaya pada 29 Julai lalu.

MOHD FAIZAN

Menurut salah seorang peserta, Mohd Faizan Dasuki, 37, bengkel tersebut memberi ilmu baharu buatnya terutama dalam menghasilkan video pendek berimpak tinggi untuk dimuat naik ke aplikasi TikTok yang menjadi platform terbaru, mudah dan percuma untuk berniaga.

“Sepanjang bengkel, kami didedahkan dengan cara-cara membina kandungan menggunakan kaedah yang lebih tersusun dan berkesan seperti teknik membina struktur kandungan, pemilihan audio bersesuaian serta asas suntingan video yang memukau,” katanya kepada Wilayahku.

Mohd Faizan berkata dirinya percaya hasil pembelajaran tersebut akan memberi impak dalam jangka masa tiga hingga enam bulan akan datang dengan syarat perlu konsisten dalam memuat naik video berkualiti.

“Semoga perniagaan saya akan lebih baik lagi dan diharapkan usahawan di luar sana peka dengan perkembangan semasa pemasaran digital seterusnya menjadikannya sebagai platform utama dalam mengembangkan perniagaan.

“Saya turut berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan ada kesinambungan kerana ia sangat bermanfaat dan membantu usahawan kecil seperti kami,” ujarnya yang sudah 13 tahun terlibat dalam perkhidmatan katering dan pengurusan acara.

MIMIE

Dalam pada itu, Mimie Majid, 41, berkata cara penyampaian sepanjang bengkel berlangsung adalah mudah dan senang difahami.

“Ada sebahagian peserta yang tidak pernah menggunakan aplikasi TikTok dan apabila didedahkan dengan ilmu baharu seperti ini mereka seronok dan boleh ikut memandangkan perkara yang dikongsikan adalah asas serta dalam bahasa yang mudah difahami.

“Bagi saya sendiri pelbagai ilmu baharu dapat dipelajari seperti siapa fokus audience kita, niche, strategi penggunaan hashtag, caption dan copywriting. Kita juga belajar mengenai empat content structure dalam menghasilkan video supaya ia tidaklah ‘syok sendiri’,” ujarnya.

Ditanya tentang perbezaan jualan sebelum dan selepas menyertai bengkel, Mimie berkata penghasilan video yang menarik membuatkan jumlah pembelinya juga meningkat.

“Dua perkara utama yang saya pelajari adalah untuk melakukan Call For Engage (CFE) dan Call For Now (CFN) di mana ia sangat membantu untuk meningkatkan sales dan engagement dengan pembeli,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi KUPPutra.

Mimie turut berharap dirinya dan peserta lain dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dalam memajukan perniagaan mereka.

“Dengan ilmu yang diperoleh, semoga perniagaan saya akan lebih dikenali. Diharapkan program seperti ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti usahawan Putrajaya terus berkembang dan tidak ketinggalan daripada memanfaatkan semua platform,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas