Berita

EcoTrail Putrajaya: Lari sambil kenali warisan

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Larian EcoTrail Putrajaya 2023 yang diadakan baru-baru ini.
- Diterbit 5 Ogos 2023 7:00 AM MYT

ECOTRAIL Putrajaya: A Green Race From Europe To Malaysia yang merupakan ­acara perlumbaan larian denai terbesar dan unik telah diadakan di Taman Botani baru-baru ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata larian tersebut menggabungkan elemen pelancongan sukan, pembangunan mampan serta tanggungjawab terhadap alam semula jadi.

“EcoTrail adalah gabungan perlumbaan larian sihat di samping memberi peluang kepada para peserta untuk mendekatkan ­diri dengan warisan semula jadi dan budaya ­sesebuah ­bandar,” katanya menerusi satu ­kenyataan media.

Tambahnya, pemilihan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai lokasi acara adalah kerana pusat pentadbiran itu ­merupakan bandar ultra moden yang masih dikelilingi dengan taman-taman alam semula jadi.

“Ini juga memberi peluang untuk Putrajaya menonjolkan kelebihan dan keindahannya ­sekali gus mempromosikannya sebagai lokasi pelancongan.

“Di samping itu, ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk melihat Putrajaya daripada pelbagai sudut dan perspektif,” ­ujarnya perlumbaan EcoTrail telah diperkenalkan di bandar Paris, Brussels, Reykjavik, Oslo, Putrajaya dan banyak lagi.

MOTAC berkata penganjuran pada kali ini berjaya mencatatkan seramai 1,300 peserta berbanding 900 penyertaan pada tahun 2019.

“Edisi kedua penganjuran EcoTrail Putrajaya 2023 ini juga menyaksikan sebanyak 200 penyertaan dari negara China, Singapura, Belanda, Amerika Syarikat, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia dan banyak lagi.

“Perlumbaan ini melibatkan larian sejauh 10 kilometer (km), 30km, 50km dan 80km di mana titik mula dan akhirnya adalah di Taman Botani,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas