Berita

Labuan bakal berdaya saing setara pulau bebas cukai lain

ROSIDA (empat kiri) diiringi Rithuan (empat kanan) bersama kakitangan PL pada Program Hari Bertemu Pelanggan di Kompleks Ujana Kewangan, baru-baru ini.
- Diterbit 5 Ogos 2023 3:00 AM MYT

RANCANGAN Struktur Wilayah Persekutuan Labuan 2040 dan Rancangan Tempatan Labuan 2040 (yang ­dalam proses akhir) bakal memastikan ­pulau bebas cukai itu membangun lebih mampan, ­berdaya saing dan berdaya huni.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, Labuan perlu menjadi sebuah pulau yang vibrant dan ­perlu setara dengan ­pulau-pulau ­bebas cukai yang lain.

Kata beliau, Pelan Strategik Pengurusan dan Pelan Strategik Pendigitalan Perbadanan Labuan (PL) yang ditambah baik ­setiap ­lima tahun menjadi ­penanda aras ­dalam meningkatkan kecekapan dan ­keberkesanan ­pentadbiran, ­pengurusan organisasi serta ­pem­bangunan ekosistem ­digital yang berdaya ­maju di Labuan.

“Ini membolehkan PL memacu Labuan ke era ­kegemilangannya dalam aspek pentadbiran dan pembangunan menjelang 50 Tahun Jubli Emas ­pada tahun 2034.

“Selain pelan strategik dan ­rancangan ­pembangunan yang ­disebutkan, PL juga akan meneruskan ­momentum ­pembangunan Labuan ­menerusi program-program lain yang ­lebih berdaya tahan dengan trend ­pembangunan yang ­mampan,” ­kata beliau semasa berucap di Majlis Perasmian Program Hari Bertemu Pelanggan Perbadanan Labuan dan Agensi Kerajaan (HBPPL) di Kompleks Ujana Kewangan, ­baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PL, Rithuan Mohd Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Ibrahim Tambi.

Mengulas lanjut ­mengenai ­Program HBPPL, Rosida ­berkata penganjuran itu merupakan ­satu pendekatan holistik ­bukan ­sahaja untuk meningkatkan ­kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tetapi ­juga memberi peluang kepada rakyat untuk ­berinteraksi dan bersemuka dengan lebih ­mudah dan fleksibel.

Katanya, penganjuran itu masih relevan dan bertepatan ­dengan kehendak komuniti untuk membolehkan perkhidmatan yang disampaikan lebih dinamik ­selaras dengan inovasi dan teknologi terkini.

“Sekarang adalah ­masa terbaik ­untuk kita semua ­menggandakan ­usaha dalam meneroka potensi ­teknologi penyampaian ­perkhidmatan awam terutamanya dalam merangka hala tuju dan dasar serta pelaksanaannya.

“Saya menyeru kepada semua pihak sama ada di sektor ­kerajaan, swasta, badan korporat, pertubuhan dan sebagainya ­untuk sama-sama ­berganding bahu ­dalam pembangunan sosioekonomi yang maju dan mampan, peningkatan prasarana dan perkhidmatan yang berterusan demi kesejahteraan ­warga Labuan.

“Ini bertepatan dengan ­konsep Madani yang tercetus dari ­konsep kesediaan menerima perubahan dengan mengambil kira ­saranan ­daripada segenap lapisan masyarakat ke arah kemakmuran dan ­kesejahteraan ­bersama,” ­katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas