Berita

Belanjawan pertama Perikatan Nasional lulus

- Diterbit 15 Disember 2020 9:27 AM MYT

BELANJAWAN pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini apabila Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Terdahulu, cubaan ahli Parlimen blok pembangkang untuk menggagalkan rang undang-undang tersebut ketika selesai penggulungan peringkat jawatankuasa, juga tidak berhasil apabila undi bahagian menyaksikan keputusan sama.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 Nov lepas.

Pada peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan proses undi belah bahagian sebelum diluluskan iaitu Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Wilayah Persekutuan; dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut melalui proses undi belah bahagian ialah Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta  Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan tersebut, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas