Berita

Profesor Diraja Ungku Aziz meninggal dunia

- Diterbit 15 Disember 2020 10:38 AM MYT

TOKOH Pendidikan Negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 98, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail dan dijangka dikebumikan pada malam ini.

Allahyarham merupakan tokoh penting di sebalik penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Ungku Abdul Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922 merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Selain itu, beliau juga adalah seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau pernah memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV pada tahun 1993.

Beliau yang dianugerahkan gelaran “Profesor Diraja Ekonomi” (Pembangunan Luar Bandar) pada 17 Jun 1978.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988 dan paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun.

Pada 1997, Allahyarham telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ungku Aziz juga menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama ‘Anugerah Melayu Terbilang’ sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 11 Mei 2005 yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Allahyarham merupakan bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas