Berita

Bas elektrik bermula 1 November, rintis bandar raya sifar karbon

SHAHIDAN (tengah) menandatangani plak sebagai simbolik melancarkan laluan baharu Hijau Serindit di Wangsa Maju hari ini.
- Diterbit 28 Oktober 2021 8:58 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik di Wangsa Maju yang dijadual bermula 1 November ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek itu merupakan perintis kepada perbandaran sifar karbon yang pertama di ibu kota.

“Perkhidmatan bas percuma GoKL akan mengaplikasi penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang merupakan pelan tindakan yang dilaksanakan secara bersasar di sekitar Kuala Lumpur.

“Sejajar dengan itu, reka bentuk dan warna balutan luar turut diperbaharui dengan membawa tema hijau yang dilihat ke arah gaya hidup lebih sihat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik dan Laluan Baharu Bagi Perkhidmatan Bas Percuma GoKL di Wangsa Maju hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Che Roslan Che Daud dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Menjelas lanjut, Shahidan berkata, DBKL menyasarkan penggunaan BEV sepenuhnya di semua laluan perkhidmatan bas GoKL menjelang tahun 2023.

“Bilangan bas elektrik ini akan ditambah secara berjadual dari semasa ke semasa dan sebuah bas mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer (km) untuk sekali pengecasan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, dua laluan baharu iaitu laluan Hijau Serindit dan laluan Kelabu akan mula beroperasi pada 1 November ini.

“Laluan Hijau Serindit sepanjang 13.78 km ini akan bermula dari Hab Transit Aliran Massa (MRT) Terminal Maluri ke Bandar Seri Permaisuri manakala Laluan Kelabu sepanjang 16.7 km pula akan bermula dari MRT Cochranse ke Bandar Tun Razak.

“Dua laluan baharu ini diwujudkan bagi memberi penumpang membuat pilihan melakukan pertukaran mod pengangkutan daripada bas ke penggunaan rel dan seterusnya mencapai sasaran Kuala Lumpur sebagai bandar raya rendah karbon 2030,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas