Berita

Penganjuran TISC Ke-16 dimantapkan menerusi kerjasama MyIPO, TDA

- Diterbit 29 Oktober 2021 5:17 AM MYT

PERBADANAN Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Technology Depository Agency Berhad (TDA) jalin kerjasama strategik bagi memantapkan pelaksanaan Program Technology and Innovation Support Center (TISC).

MyIPO dalam kenyataan hari ini memaklumkan, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama itu, TDA selaku Host Institution TISC Ke-16 akan menerima kemudahan akses data serta latihan yang mampu meningkatkan kefahaman mengenai perlindungan serta pengurusan harta intelek.

“MyIPO merupakan Focal Point yang bertindak sebagai penyelaras bagi semua aktiviti TISC di Malaysia di antara World Intellectual Property Organization (WIPO) dan TISC Host Institutions yang terdiri daripada organisasi tempatan.

“Kerjasama serta kolaborasi antara MyIPO dan TDA akan mewujudkan ruang antara dua pihak melalui program yang ditawarkan seperti kursus bidang pengkomersialan dan Technology Remote Mentorship Programe,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerjasama itu juga dapat membantu TDA mengenalpasti, mengatur serta menyediakan pelan dan strategi pelaksanaan yang realistik supaya mampu dicapai.

Tambahnya, menerusi pelaksanaan itu, peluang pembangunan dapat ditingkatkan serta pemindahan teknologi kepada industri tempatan yang merupakan sebahagian daripada objektif Program Kolaborasi Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP).

Terdahulu, pertukaran MoU dilakukan antara Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar dan Ketua Pegawai Eksekutif TDA, Dr Sharoul Jambari.

Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas