Berita

Banjir: Jumlah mangsa dan PPS terus meningkat setakat 4 petang – NADMA

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Disember 2023 6:30 PM MYT

JUMLAH mangsa banjir dan tanah runtuh di empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Selangor meningkat kepada 25,938 setakat 4 petang ini berbanding 25,438, pada 12 tengah hari.

Menurut Laporan Terkini Kejadian Bencana Di Seluruh Negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara jumlah pusat pemindahan sementara  (PPS) yang aktif di keempat-empat negeri juga meningkat kepada 231 berbanding 199 PPS.

“Kelantan mencatatkan bilangan daerah dan jumlah mangsa tertinggi terjejas banjir iaitu lapan daerah dan 15,145 mangsa; diikuti Terengganu dengan tujuh daerah, 10,199 mangsa; Pahang dengan tiga daerah, 590 mangsa; dan Selangor satu daerah dengan empat mangsa,” menurut laporan itu.

Dari segi jumlah PPS aktif, Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 125, Kelantan (92), Pahang (13) dan Selangor (satu).

Laporan itu turut memaklumkan daripada 13 PPS yang dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di daerah Cameron Highlands melibatkan kejadian tanah runtuh yang menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga  sementara sembilan PPS banjir dibuka di Raub dan tiga lagi di Lipis.

Menurut NADMA, di Selangor satu PPS dibuka di daerah Kuala Langat melibatkan empat orang daripada satu keluarga.

Menurut laporan itu juga, setakat ini, tiga kes kematian akibat banjir direkodkan di Kelantan dengan dua kes masing-masing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu dan seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas berlaku hari ini, manakala satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas, Ahad lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas