Berita

1 maut, 1 cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail

- Diterbit 7 Mei 2024 6:00 PM MYT

SEORANG lelaki meinggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan dalam satu kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini.

Pihak Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang tadi.

Susulan itu, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Kuala Lumpur, PgKB I M. Fatta M. Amin berkata, setibanya di lokasi kejadian, terdapat pokok besar tumbang yang menghempap 17 buah kenderaan, landasan monorel dan fasiliti awam di Hadapan Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Ekoran kejadian itu, terdapat dua orang mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Salah seorang mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia dan seorang lagi berusia 26 tahun mengalami kecederaan telah diserahkan kepada paramedik untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, operasi kerja-kerja menyelamat dan pemotongan serta pembersihan sedang giat dilakukan oleh anggota bomba dalam mengenal pasti mangsa yang masih terperangkap.

Terdahulu, sebatang pokok besar tumbang di sekitar Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur ekoran kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu negara sebentar tadi.

Kejadian tersebut difahamkan menghempap landasan monorel serta kenderaan yang berada di sekitar lokasi kejadian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas