Berita

Jejak Seni Bina perkenal bangunan ikonik

- Diterbit 10 Mei 2024 11:40 AM MYT

PROGRAM Jejak Seni Bina yang diperkenalkan oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) menjadi satu lagi tarikan terbaharu di pusat pentadbiran kerajaan itu buat pengunjung dalam mahupun luar negara.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat PPj, TPr Norzita Abdul Razak, program tersebut bertujuan mempromosikan laluan Architecture Trails yang diperkenalkan di Putrajaya.

“Laluan ini boleh diterokai dengan menaiki basikal atau berjalan kaki bagi menikmati seni bina ikonik bangunan-bangunan di Putrajaya.

“Kita adakan lawatan berpandu ini dengan konsep berjalan kaki sambil diiringi oleh pemandu pelancong sambilan PPj di mana di setiap lokasi peserta akan diberi penerangan mengenai peristiwa bersejarah dan juga tentang seni bina sesebuah bangunan,” katanya.

Norzita berkata antara objektif lain adalah untuk memberi pendedahan dan pembelajaran mengenai sejarah pembangunan dan seni bina di Putrajaya kepada rakyat Malaysia serta pelancong luar negara dan diadakan secara berkala.

“Selain itu, Program Jejak Seni Bina ini juga merupakan aktiviti yang telah digariskan di dalam Blueprint Pelancongan Putrajaya 2032 yang perlu dilaksanakan setiap tahun.

“Program ini adalah percuma dan peserta akan dibawa oleh pemandu pelancong sambilan PPj yang dilantik oleh pihak perbadanan sendiri di mana mereka ini ditugaskan untuk menjaga Icentre di Dataran Putra, membawa lawatan rasmi dan lawatan Jejak Seni Bina ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norzita berkata Jejak Seni Bina ini telah diadakan sebanyak enam kali sepanjang tahun ini iaitu pada 2, 3, 9 dan 10 Mac lalu di mana laluan yang digunakan adalah bermula di ICentre ke Dataran Putra, Pejabat Perdana Menteri, Masjid Putra, Souq Putrajaya dan berakhir di ICentre semula.

“Sesi seterusnya juga telah diadakan baru-baru ini pada 4 dan 5 Mei di mana laluan yang digunakan bermula di hadapan kompleks PPj, Istana Kehakiman dan berakhir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi.

“Insya-Allah untuk program seterusnya akan diadakan pada awal bulan Julai dan promosi akan dilakukan menerusi portal serta media sosial PPj. Sehingga kini kita mempunyai empat laluan dan untuk setiap sesi laluan yang berbeza akan digunakan kerana itu pihak kami sentiasa mengemas kini dan meneroka laluan lain dari semasa ke semasa.

“Antara lokasi ikonik yang akan dikunjungi adalah seperti Masjid Putra, Jambatan Seri Wawasan, Dataran Gemilang, Istana Kehakiman, Jambatan Seri Gemilang, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya, program tersebut dibuka kepada semua pelancong dalam mahupun luar negara yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan seni bina Putrajaya secara percuma dan kesemua peserta hanya perlu berada di starting point pada tarikh lawatan diadakan.

“Alhamdulillah kami menerima respons yang sangat baik daripada orang ramai sejak program tersebut diperkenalkan dan mereka mengharapkan program seperti ini kerap diadakan serta memperluaskan promosi supaya lebih ramai dapat sertai. Pada peringkat awal ini, kami telah menerima kira-kira 60 peserta dari dalam negara dan selepas ini fokus akan diberikan untuk menarik lebih ramai pelancong dari luar.

“Besar harapan kami, supaya lebih ramai anak-anak muda dan orang ramai dapat menyertai program seperti ini bagi menambah ilmu pengetahuan dan dapat memberi idea dalam penghasilan ikonik bangunan yang menarik di Malaysia serta secara tidak langsung membuktikan kepada negara luar bahawa Malaysia mampu menzahirkan ikonik bangunan yang menarik dan amat bermakna,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas