Selebriti

Bahang populariti Andi makin membara

ANDI
ANDI
- Diterbit 18 Julai 2019 4:47 PM MYT

SEMAKIN mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air, penyanyi Andi Bernadee mengakui kemana sahaja dirinya melangkah, ramai yang menyerbu dirinya.

Ternyata situasi tersebut jauh berbeza dengan sebelum ini. Andi berkata, dari situ jelas kelihatan kehadirannya semakin diterima ramai. Malah gaya hidupnya kini juga ikut serta berubah dan dalam masa yang sama dia perlu lebih peka terhadap peminat yang sering menegur dirinya dimana-mana sahaja.

“Kadang-kadang tak perasan bila ada yang menyapa, bimbang nanti ada yang anggap sombong pula. Saya akui banyak sangat perbezaan dengan sebelum ini, jika dahulu nak dapat ditemubual pun susah sebab tak ada nama,” ujarnya sambil tergelak.

Katanya lagi, dia kini terpaksa berfikir berkali-kali untuk ke pusat membeli-belah memandangkan dia bakal terperangkap berjam-jam lamanya akibat dikerumuni oleh peminat yang perasan akan kehadirannya.

Menganggap hal tersebut sebagai satu pengalaman baru yang mencuit hati, Andi bagaimanapun bersyukur dengan penerimaan luar biasa peminat terhadap dirinya. Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat buatnya untuk mewarnai industri tempatan.

Turut berdepan dengan gangguan peminat misteri seperti kebanyakan artis, penyanyi kelahiran Sabah ini tidak cepat melatah bahkan menganggap segalanya adalah lumrah biasa dalam zaman teknologi di hujung jari.

“Dalam hal ini, saya tidak memandang dalam skop selebriti sahaja kerana orang biasa juga turut diganggu dengan mesej bukan-bukan. Hal ini bukan suatu yang asing yang mana kini mereka lebih suka meluahkan apa yang dia rasa di papan kekunci tanpa berfikir panjang.

“Bila terpaksa melalui situasi ini, saya buat tak tahu sahaja, baca dan biarkan. Kalau dilayan, makin panjang ceritanya. Cuma saya akui sudah hampir enam bulan juga saya diganggu peminat misteri yang sering memberitahu saya aktiviti hariannya tanpa diminta,” ujarnya.

Cerita penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Tiada Lagi Maaf itu lagi, setakat ini dia masih mampu bertahan dengan keadaan tersebut kerana ia belum sampai ke tahap menganggu ketenteraman diri serta kehidupan peribadinya.

Perjuang muzik urban

Memulakan kerjaya seni pada 2017 dengan lagu berkonsep Balada, pada tahun lalu, Andi mula mempertaruhkan muzik urban apabila diberi kepercayaan oleh penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagu hits penyanyi tersebut berjudul Semalam Sahur Di Mana.

Kemudian dia mengorak langkah apabila muncul dengan single ketiga berjudul Satu Peluang. Kejayaan single tersebut dengan tontonan lebih 14 juta di saluran YouTube memberi impak kepada kerjaya seninya.

Lantas terbaru, dia mempertaruhkan single keempat iaitu Donde. Ternyata percaturannya membuahkan hasil apabila lagu yang disuntik irama muzik latin ini menerima sambutan yang agak hebat biarpun baru tiga bulan dilancarkan.

Dilihat semakin selesa membawakan muzik urban, Andi mengakui muzik tersebut dekat dengan jiwanya dan tidak menolak mungkin kerana hal itu dia berjaya mempersembahkan hasil yang terbaik kepada peminat.

“Muzik urban dekat dengan jiwa ini. Jadi mungkin kerana itu juga, saya mampu membawanya dengan lebih baik dan sekaligus berbekas di jiwa pendengar.

Pun begitu, sebagai penyanyi, sudah semestinya kita akan hasilkan lagu mengikut peredaran semasa.

“Single Donde pada asalnya tertumpu kepada golongan remaja namun saya tidak menyangka ia turut diminati segenap lapisan umur. Mungkin juga kerana muzik dan liriknya yang lebih santai,” ujarnya.

Berbicara tentang perkembangan terkininya, penyanyi berusia 28 tahun ini sedang sibuk dengan material single untuk penutup tahun 2019 selain sedang merancang untuk merangka album pada tahun hadapan.

Sedang berjinak-jinak dalam dunia lakonan, setakat ini, Andi sudah pun melakonkan tiga buah telefilem iaitu Korban Penunggu Hospital, Cerita Raya Luar Biasa dan Geng Big Style Beraya baru-baru ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas