WK2

Tasik, tumbuhan akuatik tarik minat burung air membiak

BURUNG liar yang datang ke Taman Tasik Wetland untuk membiak.
BURUNG liar yang datang ke Taman Tasik Wetland untuk membiak.
- Diterbit 18 Julai 2019 5:17 PM MYT

WETLAND Putrajaya yang dipenuhi dengan tumbuhan akuatik menjadikannya habitat pelbagai fauna dalam ekosistem perbandaran.

Lebih 500 ekor dari tiga kumpulan burung air iaitu pucung, bangau dan stork bertelur serta membiak sepanjang tahun secara liar.

Menurut Koordinator ‘Ecohydrology Malaysia Chapter’, Dr. Rahmah Elfithri yang merupakan Fellow Kanan di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia, perkembangan tersebut merupakan satu pemandangan yang sukar dilihat khususnya di tengah kesibukan kawasan perbandaran.

“Spesies burung botak padi atau upeh sawah yang disenaraikan sebagai spesies terancam kepupusan secara global oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semulajadi Antarabangsa masih menjadikan Tasik dan Wetland Putrajaya sebagai habitatnya,” katanya.

Beliau berkata, status Tasik dan Wetland Putrajaya sebagai Tapak Demonstrasi Ekohidrologi Global UNESCO menjadikan sebagai kawasan tanah lembab itu sebagai rujukan pengurus badan air atau tasik di seluruh dunia.

Tambahnya, Tasik dan Wetland Putrajaya berjaya mengaplikasikan ekohidrologi dalam skala besar dengan menggunakan wetland buatan untuk menapis air sebelum masuk mengalir ke dalam tasik.

Dalam pada itu, pakar biologi dan hidupan liar, Dr. Ahmad Ismail dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu laporan dipetik sebagai berkata, siri tasik dengan tumbuhan akuatik dan kepulauan kecil di Wetland Putrajaya menggalakkan pertambahan populasi burung air.

Pada 1995 katanya, terdapat hanya 35 spesies burung dan sembilan spesies ikan di tapak Taman Wetland namun pada 2013 terdapat 124 spesies burung baharu telah dikenal pasti.

Sebanyak 5,576 ekor temoleh, kelah (368 ekor), kelah merah (500 ekor), lampam sungai (28,380 ekor), baung (2,460 ekor), kerai lampam (5,000 ekor) telah dilepaskan pada 2013 hasil sumbangan Jabatan Perikanan.

Kini ada burung air seperti burung pucung seriap (ardea cinera), pucung serandau (ardea purpurea), bangau kerbau (bubulcus ibis), pucung kuak (nycticorax nycticorax) dan burung upih sawah (mycteria leucocephala) nampak bersarang di kepulauan pokok-pokok di tasik Putrajaya, katanya.

Lain-lain burung air seperti pucung keladi (butorides striata), pucung bendang (ixobrychus cinnamomeus), pucung kuning (ixobrychus sinensis), ruak-ruak (amaurornis phoenicurus), pangling ungu (porphyrio porphyrio) dan ayam-ayam (gallicrex cineria) juga kelihatan di kawasan pelbagai jenis rumput di dalam sel.

“Habitat tanah basah yang stabil merupakan kawasan kompleks sesuai bagi burung air,” jelas beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas