Berita

Bacaan Qunut Nazilah serta solat hajat perlu diteruskan – Mohd Na’im

- Diterbit 29 Mac 2024 3:49 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru seluruh umat Islam untuk terus membaca Qunut Nazilah serta menunaikan solat hajat di surau dan masjid agar Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Palestin.

Menurut Mohd Na’im, bersempena di bulan Ramadan yang penuh keberkatan beliau mengajak orang ramai melipatgandakan doa dan pada masa sama menghulurkan bantuan kemanusiaan agar ianya dapat disalurkan ke Gaza, Palestin.

Tambah beliau, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merujuk kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi gencatan senjata di Gaza yang telah dicapai.

“Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB ini adalah amat ditunggu-tunggu oleh seluruh masyarakat antarabangsa terutamanya umat Islam di seluruh dunia yang mencintai keamanan dan kesejahteraan.

“Sudah sekian lama, rakyat Palestin di Gaza telah berdepan dengan ujian malapetaka kemanusiaan terutamanya di bulan Ramadan, tiada makanan dan minuman serta perubatan kerana kekejaman dan kezaliman regim Zionis Israel.

Sehubungan itu, jelas Mohd Na’im, penerimaan resolusi tersebut membuka ruang untuk memberikan bantuan ke bumi Gaza, Palestin.

“Penerimaan resolusi ini membuka ruang bekalan makanan dan minuman serta bantuan perubatan untuk masuk ke Gaza, Palestin.

“Begitu juga hospital-hospital yang telah tutup akibat tiada bekalan bahan api juga diharapkan akan beroperasi semula dan dapat memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaubagaimanapun Mohd Na’im turut menegaskan, ketika resolusi tersebut dicapai, regim Zionis Isreal masih bersikap melampaui batas kemanusiaan dengan meneruskan serangan dan tidak mempedulikan resolusi yang dicapai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas