Berita

Harga juadah mahal, kuasa memilih di tangan pembeli

SELAIN Bazar Ramadan Presint 3, terdapat empat lagi lokasi bazar di Putrajaya yang boleh dikunjungi warga setempat mahupun luar.
- Diterbit 29 Mac 2024 3:49 PM MYT

SEJAK awal Ramadan, ramai yang mengeluh dan berkongsi rasa tidak puas hati di media sosial dengan mendakwa juadah di bazar-bazar Ramadan seluruh negara dijual pada harga tidak masuk akal.

Bukan itu sahaja, ia termasuklah sikap sambil lewa penjaja yang menjual makanan di mana saiz dan kualitinya tidak sepadan dengan harga selain terdapat juga juadah yang telah rosak.

Hasil tinjauan Wilayahku mendapati makanan serta minuman yang dijual di Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya mengalami peningkatan harga berbanding tahun lalu dipercayai berikutan kenaikan kos bahan mentah.

Menurut peniaga Nasi Daging Ayaq Asam Pajak Song, Roslina Nawawi, 53, kebanyakan pelanggan tidak kisah sekiranya apa yang ditawarkan itu setanding dengan harga meskipun ia mengalami kenaikan.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima memberangsangkan, dari segi harga kami ada naikkan sedikit iaitu sebanyak RM2 ke RM5 pada tahun ini bergantung kepada menu tambahan yang diminta oleh pelanggan. Bagi saya sekiranya peniaga naikkan harga, mereka perlu membuat penambahan dan pembaharuan dengan meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan yang dijual sebagai daya tarikan.

“Saya tidak boleh letak hidangan sama macam dulu, portion nasi pun kami dah lebihkan sebab kita pun faham akan ekonomi. Sebagai contoh, tahun ini kita pelbagaikan dengan menambah papadom, salad, gajus. Sebelum ini hanya nasi, daging dan kuah asam semata,” ujarnya.

Selain itu, bagi Fairuz Nordin, 39, dia juga terpaksa menaikkan harga jualannya disebabkan mahu menampung modal di atas kenaikan harga bahan mentah.

“Walaupun harga meningkat, pengguna masih boleh membeli kerana harga yang ditawarkan masih berpatutan. Kuasa membeli itu ada di tangan pembeli jadi bagi saya ia tidak menjadi satu­ masalah. Tahun ini pun makin ramai yang membeli daripada menjual. Pelanggan yang diterima pada setiap hari juga ramai,” ujarnya.

Bukan pembeli sahaja yang mengeluh dengan kenaikan tersebut tetapi penjual air balang itu mengakui perniagaannya sedikit terganggu. Oleh itu, dia tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa menaikkan harga airnya.

“Dulu kami jual RM3 sahaja, tetapi tahun ini kami memang tak dapat jual dengan harga tersebut. Bukan sengaja naikkan harga tetapi saya perlu ambil kira juga harga bahan mentah yang akan terus meningkat menjelang Aidilfitri,” ujar peniaga Air Kelapa Seri Wilayah itu.

Berbeza pandangan, peniaga martabak, Ady Mat Husin, 38, berkata kepuasan pelanggan menjadi keutamaannya tambahan pula­ berniaga di bazar hanya setahun sekali.

“Tindakan menaikkan harga jualan dilihat akan menyusahkan pembeli yang turut terkesan dengan faktor ekonomi semasa. Saya masih kekalkan harga RM4 kerana fikirkan semua pihak terkesan tahun ini dengan pembukaan sekolah, persiapan raya dan sebagainya. Dengan harga rendah, pelanggan boleh berbelanja untuk juadah lain.

“Pada setiap hari kami akan membuat martabak sebanyak 1,000 biji, dalam pukul 6 memang dah licin. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana walaupun tidak menaikkan harga, keuntungan yang saya terima mencecah RM4,000 setiap hari,” ujarnya yang sudah berniaga selama 15 tahun di Bazar Ramadan Putrajaya.

Di samping itu, Hairulnizam Omar, 41, berkata sewa tapak bazar Ramadan yang ditawarkan pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) berbaloi memandangkan ini merupakan kali pertama dia menyewa tapak di bazar Wilayah Persekutuan itu.

“Alhamdulillah bagi saya sewa tapak di sini berbaloi dengan keuntungan yang diterima kerana trafik pembeli pada setiap tahun terus meningkat memandangkan ia merupakan kawasan tumpuan penduduk sekitar mahupun luar Putrajaya,” ujar peniaga Nasi Ayam Perap Berempah Original Utara itu.

Dalam pada itu, menurut penjual Enjoy air balang, Azween Mohd Azhar, 26, saingan di Bazar Ramadan Putrajaya kali ini agak hebat berbanding tahun sebelumnya.

“Berbeza dengan tahun lalu, kali ini Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 menawarkan pelbagai juadah makanan jadi dia punya saingan tu agak kuat. Buat peniaga yang mempunyai pelanggan tetap memang senang.

“Untuk tahun ini kami masih mengekalkan harga yang sama tetapi pada masa akan datang sekiranya harga barang masih meningkat, berkemungkinan kami juga terpaksa menaikkan harga jualan.

“Harap kerajaan dapat turun pantau dan bantu kami. Dari­ dulu lagi bila masuk bulan puasa pembekal memang akan naikkan harga, jadi kami pun terpaksa jual mahal dan untung yang diterima sedikit apabila pembeli berkurangan,” ujarnya.

Sementara itu, rata-rata peniaga berkata kawalan harga dan stok bahan mentah merupakan perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan jika mahu memastikan peniaga tidak menaikkan harga jualan di bazar Ramadan.

BELI IKUT KEPERLUAN

DALAM masa sama, rentetan daripada isu harga makanan dan minuman di bazar Ramadan ‘cekik darah’ sebagaimana dakwaan ramai, Roslina Che Man, 56, percaya semuanya berbalik semula pada kuasa membeli setiap anggota masyarakat.

“Penjual atau peniaga mesti mempunyai alasan tertentu untuk menaikkan harga jualan mereka. Anggap sahaja ia merupakan ujian kecil bulan Ramadan. Menteri-menteri pun sudah keluarkan kenyataan yang mana katanya susah untuk hendak kawal kenaikan harga barang.

“Kuasa membeli masih berada di tangan pengguna. Tetapi ada orang yang memang terpaksa membeli. Bagi saya, pengguna perlu bijak membuat keputusan di mana mereka juga mempunyai cara untuk berjimat dengan memasak sendiri di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Muhammad Redha Safwan, 22, mendakwa tinjauannya ke Bazar Ramadan Putrajaya mendapati rata-rata harga minuman dan makanan termasuk kuih-muih naik antara 50 sen hingga RM1.50 berbanding sebelum ini.

“Kenaikan paling ketara ialah popia goreng yang dulu hanya RM2 tiga biji, sekarang RM1 sebiji. Air pun ada yang dijual RM5 secawan berbanding RM3 sebelum ini,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Nur Hidayah Islam, 28, berkata kenaikan harga makanan dan minuman di bazar Ramadan terbabit menyebabkan dia terpaksa mengawal selera untuk berjimat-cermat.

“Saya memang sudah menjangkakan kenaikan harga di bazar Ramadan kali ini dan sebagai pengguna, kita perlu sesuaikan diri. Beli apa yang perlu sahaja bagi mengelakkan pembaziran,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas