Berita

Sebanyak 27,115 kandungan memudaratkan diturunkan pada Januari, Februari

- Diterbit 29 Mac 2024 3:50 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menurunkan sebanyak 27,115 kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT) bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tahun 2023 pihak MCMC telah menurunkan sebanyak 35,490 kandungan.

“Berdasarkan statistik MCMC, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform OTT.

“Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu,” katanya hari ini.

Tambahnya lagi, kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini.

“Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” ujarnya.

MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“MCMC mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komenkomen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial,” katanya.

Sementara itu, susulan insiden melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah, MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejaki pemilik-pemilik akaun yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas