Berita

Atasi masalah kekurangan rumah

SHAHIDAN (tengah) melawat projek Rumah Majlis di Sungai Udang, Segambut untuk melihat lebih dekat kemudahan yang ditawarkan. - Koleksi DBKL SHAHIDAN (tengah) melawat projek Rumah Majlis di Sungai Udang, Segambut
- Diterbit 21 Mac 2022 5:23 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk membangunkan kira-kira 5,000 unit Residensi Majlis atau Council Home sebagai usaha untuk mengatasi masalah perumahan warga kota khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata pihak KWP dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti lima tapak bagi tujuan tersebut.

“Sehingga Mac 2022, sebanyak lima tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home iaitu di Sungai Udang di dalam Parlimen Segambut sebanyak 897 unit dengan keluasan 807 kaki persegi. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada April 2022,” katanya.

SETIAP unit rumah dilengkapi dengan kabinet dapur bagi memudahkan pasangan muda memulakan kehidupan di bandar raya dengan kos sewaan yang rendah.

Beliau berkata demikian ketika sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelasnya, pihaknya turut merancang pembangunan Council Home antaranya di Jalan Selimang, Cheras, sebanyak 702 unit berkeluasan 760 kaki persegi.

“Selain itu, di Desa Tasik anggaran 1,000 unit berkeluasan 800 kaki persegi, Bandar Baru Sentul sebanyak 168 unit berkeluasan 750 kaki persegi dan di Jalan Tasik Permaisuri sebanyak 204 unit berkeluasan 775 kaki persegi,” katanya.

Berbeza dengan PA dan PPR, setiap unit Council Home berukuran 700 hingga 750 kaki persegi dan memiliki tiga bilik serta dua bilik air dan kadar sewaan di perumahan ini lebih tinggi berbanding di PA dan PPR namun ia masih rendah daripada harga pasaran.

DBKL sebelum ini mengakui menerima lebih 38,000 permohonan daripada warga kota terutama golongan miskin bandar untuk menduduki PPR dan PA selain berhadapan kesukaran mendapat unit kosong untuk ditawarkan kepada pemohon.

KWP sebelum ini telah meluluskan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang melibatkan kira-kira 62,836 di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

KWP turut menetapkan sasaran untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028 dengan sasaran 8,000 unit setahun.

Sementara itu, Shahidan berkata, DBKL sentiasa menjalankan program bancian dan pemutihan serta meminta para penyewa untuk mengemas kini maklumat pendapatan masing-masing dari semasa ke semasa.

Jelasnya, tindakan tersebut bertujuan bagi memberi peluang kepada warga kota yang layak menduduki PPR dan PA.

“DBKL juga sedang menjalankan program lanjutan tempoh penyewaan PA dan PPR di mana kelulusan pelanjutan tempoh penyewaan adalah tertakluk juga kepada maklumat pendapatan yang diberikan oleh para penyewa tersebut.

“Bagaimanapun sekiranya mereka tidak mengisytiharkan sebarang peningkatan pendapatan, adalah tidak wajar DBKL meminta mereka mengosongkan unit yang mereka diami,” katanya.

Ujar Shahidan, bagi tindakan pemutihan pula, DBKL sering menjalankan tindakan dengan mengeluarkan notis kepada penyewa-penyewa yang didapati melakukan pelanggaran syarat-syarat seperti tidak menetap, kesalahan jenayah atau dadah, menyewakan unit kepada pihak ketiga termasuk warga negara asing dan penyewa berkahwin dengan warga negara asing. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas