Berita

Had laju 50km/j di Jalan Bangsar tidak lama lagi

KAJIAN rintis terhadap kebolehlaksanaan cadangan had laju ini masih di dalam perincian serta penelitian oleh pihak MIROS. Kredit foto: Facebook Datuk Seri Jalaluddin Alias
- Diterbit 21 Mac 2022 5:20 AM MYT

DEWAN Negara diberitahu kajian rintis mengenai  kebolehlaksanaan cadangan had laju kenderaan di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur masih di dalam perincian serta penelitian oleh pihak Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut Jalaluddin, beberapa kawasan yang dicadangkan oleh MIROS untuk diturunkan had kelajuan sedia ada berdasarkan Perintah Had Laju Bandaraya Kuala Lumpur 1989.

“Kawasan perumahan, yang banyak tumpuan pejalan kaki dan basikal dari 40km/j diturunkan kepada 30km/j.

“Kawasan sekolah, had laju yang digalakkan (advisory speed limit) adalah 30km/j dan ia seperti yang dicadangkan MIROS.

“Kawasan yang diwartakan 60km/j dicadangkan untuk di turunkan kepada 50km/j adalah seperti di  Jalan Bangsar dan Jalan Ampang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya semasa sesi pertanyaan lisan Dewan Negara hari ini.

Jalaluddin berkata, terdapat beberapa batang jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS.

“Contoh jalan-jalan ini adalah Jalan Tun Razak – 70km/j, Jalan Loke Yew – 70km/j,  Jalan Syed Putra – 80km/j dan Lebuhraya Mahameru – 80km/j,” katanya.

Tambahnya, pada masa kini DBKL dimaklumkan bahawa kajian rintis terhadap kebolehlaksanaan cadangan had laju ini masih di dalam perincian serta penelitian oleh pihak MIROS.

“MIROS menjangkakan untuk menghantar kertas cadangan untuk melaksanakan kajian tersebut kepada DBKL pada separuh kedua tahun 2022,” katanya.

Jalaluddin berkata, cadangan ini mula diketengahkan melalui perjumpaan antara Ketua Lembaga Pengarah MIROS bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Januari 2022 dan MIROS mengambil inisiatif ini berdasarkan Kempen Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB Ke-Enam (6th UN Global Road Safety Week) di mana had kelajuan 30km/j ini dapat mengurangkan kecederaan daripada kemalangan kepada golongan berisiko tinggi seperti pejalan kaki, basikal dan motosikal. Ini adalah mengambil kira keupayaan badan manusia yang boleh menahan impak kemalangan kurang daripada 30km/j.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, DBKL dalam usaha untuk memuktamadkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang merupakan dokumen perancangan yang mengandungi wawasan, matlamat, dasar dan cadangan memandu pembangunan Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang termasuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas secara menyeluruh.

“Antara langkah yang diambil untuk mengatasi masalah kesesakan di Kuala Lumpur ini adalah meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan menambah baik masalah di First Mile dan Last Mile yang masih perlu ditambah baik.

“Pihak DBKL telah menyediakan perkhidmatan Bas Go-KL secara percuma di Kuala Lumpur bagi menggalakan tahap penggunaan pengangkutan awam. Setakat hari ini 11 laluan telah beroperasi dengan tujuh laluan First Mile dan empat laluan Last Mile.

“DBKL sedang dalam kajian dan perancangan untuk mengintegrasikan sistem lampu isyarat di Kawasan bandar dan pinggir bandar. Ketika ini, lampu isyarat di kawasan bandar, menggunakan sistem traffic scats dan di Kawasan pinggir bandar pula menggunakan sistem traffic sen yang dikawal selia dan dikoordinasi oleh Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCC),” katanya.

Tambahnya, antara punca kesesakan di kawasan bandar raya adalah terdapat pelbagai halangan di jalan raya seperti kenderaan rosak, kemalangan, parkir di kawasan yang tidak dibenarkan dan pelbagai lagi.

“DBKL telah menempatkan anggota penguatkuasa (warden trafik) setiap hari dalam membantu pihak Polis Trafik membuat kawalan lalu lintas pada waktu pagi dan petang dan tindakan penguatkuasaan turut dilaksanakan ke atas kenderaan yang didapati melakukan kesalahan serta menyebabkan halangan lalu lintas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas