Berita

Arul tumpu perkara asas,sudut penalti

- Diterbit 5 April 2021 7:49 AM MYT

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj perlu bekerja keras selepas melihat prestasi kurang memuaskan beberapa pemain kebangsaan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021, Sabtu lepas.

Secara keseluruhannya, Arul berpuas hati dengan prestasi pemain yang menunjukkan kualiti kepimpinan yang baik ketika dalam padang dan kerja keras dipamerkan sepanjang saingan liga yang berlangsung tanpa kehadiran pemain import, selain latihan tidak mencukupi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Januari.

Namun, yang menjadi kebimbangannya adalah daripada segi hantaran dan penerimaan, serta penghasilan pukulan sudut penalti, menjelang kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak dijadualkan pada 18-27 Jun, yang juga kejohanan pertamanya selepas mengambil alih Speedy Tigers, Ogos tahun lepas.

Sepanjang tiga minggu MHL berlangsung dari 11 Mac, tidak termasuk perlawanan akhir, pasukan berjaya menyempurnakan hanya 12.8 peratus pukulan sudut penalti atau 11 daripada 86 percubaan berjaya menghasilkan gol.

Arul berkata kadar penghasilan sekitar 30 peratus adalah dikira baik untuk perlawanan antarabangsa dan pemain kebangsaan yang mewakili Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Muhammad Razie Abdul Rahim memiliki kadar penghasilan tertinggi sebanyak 26 peratus.

Juara Piala TNB Terengganu Hockey Team (THT) mempunyai sekitar 15 peratus diikuti Maybank (5.5 peratus) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan empat peratus.

“Tapi saya yakin sekembalinya pemain ke kem latihan pusat selepas diberikan cuti rehat, kita akan terus memperbanyakkan latihan dan terus menggilap kemahiran pemain kerana Malaysia mempunyai ramai pakar pukulan sudut penalti. Kita perlu melihat kepada kadar kelajuan pukulan, kita akan dapatkan pasukan biomekanik untuk mengukur kelajuan pukulan pemain.

“Saya faham bahawa mungkin tiada aksi selama tiga bulan menjadi punca kepada perkara ini namun ia adalah perkara asas dalam hoki seperti hantaran dan penerimaan ketika tekanan dan hantaran dan penerimaan ketika perlawanan. Jadi, elemen kritikal ini perlu diatasi bagi mengurangkan kesilapan,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Arul yang mempunyai pengalaman kejurulatihan di Afrika Selatan dan Ireland, memuji pemain-pemain seperti Muhammad Marhan Mohd Jalil (UniKL), Faiz Helmi Jali (TNB), Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Meor Muhammad Azuan Hasan (Maybank) yang telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan baik untuk mengemudi pasukan mereka.

“Mengenai penjaga gol pula, saya berpuas hati melihat prestasi Muhamad Hafizuddin Othman (THT) dan Adrian Andy Albert (UniKL) kecuali prestasi Adrian ketika aksi final, rasa dia seperti tidak menentu,” tambahnya.

Juara tiga kali 2020, UniKL berjaya mempertahankan Piala Sumbangsaih dan juara liga manakala THT pula meraih gelaran juara Piala TNB selepas menundukkan penyandangnya itu 2-0 melalui penentuan penalti shootout selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 selepas perlawanan tamat. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas