Berita

Kelembapan ekonomi semasa antara faktor tawaran gaji rendah

- Diterbit 5 April 2021 7:53 AM MYT

KELEMBAPAN ekonomi semasa antara faktor tawaran gaji rendah iaitu dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,500 diberikan kepada graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

“Kita tidak pernah ubah daripada gaji minimum (RM1,200), tetapi dalam keadaan kini, ada majikan memberi tawaran pekerjaan kepada penganggur.

“Saya cadangkan kita terima gaji yang sedia ada daripada jadi penganggur,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Program Malaysia Prihatin Dan Majlis Penyerahan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) 2021 di sini hari ini.

Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja (GPKS) adalah satu bentuk bantuan dana kewangan yang dibayar secara sekali beri kepada kesatuan sekerja berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Malaysia (JHEKS).

Sebanyak empat kategori geran telah ditawarkan kepada semua kesatuan sekerja iaitu Latihan, Komputer, Pembangunan Laman Sesawang dan Penerbitan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JHEKS telah menerima sebanyak 210 permohonan GPKS 2021 dari kesatuan di seluruh negara yang diperuntukkan sebanyak RM1.1 juta dan setakat ini telah meluluskan sebanyak 128 permohonan terawal yang lengkap dan memenuhi syarat asas. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas